Sukan

Dua pemain sah dan rasmi sertai pasukan

Dua pemain kebangsaan, Baddrol Bakhtiar dan Dominic Tan sah bersama Sabah FC selepas nama kedua-dua mereka diumumkan secara rasmi berada dalam senarai pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Super musim depan.

Kedua-dua mereka adalah antara empat pemain baharu bakal menguatkan skuad Sang Badak yang diumumkan secara rasmi oleh pengurusan Sabah FC melalui laman Facebook rasmi kelab berkenaan, semalam.

Baddrol, 33, sebelum ini dikhabarkan bakal menyertai skuad Sang Badak selepas dilamar Ketua Jurulatih, Datuk Ong Kim Swee sejurus berakhir aksi suku akhir Piala Malaysia baru-baru ini.

Nama Dominic turut disebut-sebut sejak minggu lalu bersama beberapa lagi pemain tempatan lain dari kelab di Semenanjung dan Sarawak untuk membarisi skuad Sang Badak.

Dominic, 24, atau nama penuhnya Dominic Tan Jun Jin yang bermain di posisi pertahanan sebelum ini bermain untuk pasukan Police Tero dalam Liga 1, Thailand.

Pemain yang dilahirkan di Singapura itu pernah bersama Harimau Muda C sebelum menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 2016 dan dipinjamkan ke Portugal bersama kelab Vilaverdense FC pada 2018.

Beliau kemudian bersama Police Tero dan kini turut berada dalam senarai skuad kebangsaan bersama Baddrol yang membawa misi Malaysia ke saingan Piala AFF di Singapura bermula 6 Disember ini sebelum bergabung dengan skuad Sang Badak untuk persediaan Liga Super musim depan.

Dua lagi pemain baharu yang tersenarai secara rasmi bersama Sabah FC musim depan ialah Mohd Afiq Yunus @ Apeng dan Dirga Surdi, kedua-duanya bakat tempatan berasal dari Labuan dan Sabah.

Mohd Afiq, 27, sebelum ini bermain di posisi tengah bersama pasukan tempatan Tankur FC dan yang terakhir Kinabalu Jaguar FC.

Ia adalah penampilan sulung pemain yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu dalam skuad senior Liga Super.

Sementara itu, Dirga, 22 sebelum ini beraksi bersama pasukan UiTM FC dalam musim 2021, selain pernah bersama pasukan PDRM pada 2020 dan bermain dalam Liga Sosial Selangor pada 2019.

Kehadiran keempat-empat pemain terbabit dalam Sabah FC disasar memperkuatkan lagi pasukan bagi mencapai misi mengembalikan kegemilangan sukan bola sepak Sabah.

Hari ini, pengurusan Sabah FC dijangka menyenaraikan baki pemain yang sudah disahkan bersama skuad Sang Badak di laman Facebook rasmi pasukan berkenaan.

sumber:- BH

Sebelum ini, Kim Swee dalam kenyataannya berkata senarai rasmi pemain Sabah FC untuk Liga Super 2022 akan diketahui pada awal Disember selepas proses mengikat kontrak semua pemain selesai.