Cristiano Ronaldo mungkin dilarang memandu kereta mewahnya yang bernilai £17 juta (RM95.47 juta) ke pusat latihan Manchester United yang dikendalikan Ralf Rangnick.

Jurulatih dari Jerman berusia 63 tahun itu hanya membenarkan pemain RB Leipzig menggunakan kereta syarikat ketika dia mengendalikan pasukan terbabit dan jika Rangnick menguatkuasakan peraturan ketat, Ronaldo terpaksa menyimpan deretan kereta sport dalam garaj rumahnya.

Ronaldo, 36, baru-baru ini menambah koleksi terbaru dengan membeli Bentley Flying Spur berharga £250,000 (RM1.40 juta).

Legenda Portugal itu kerap memandu kereta mewah ke Kompleks Latihan Aon sejak menyertai United tetapi dia dan rakan sepasukannya selepas ini terpaksa menggantikannya dengan kenderaan syarikat, menurut Mirror.

Chevrolet masih lagi menjadi rakan penaja rasmi Man Utd walaupun tidak lagi menghiasi jersi kelab.

Rangnick secara rasmi dipilih pengurus baharu sementara United semalam. ‘Father of Gegenpress’ yang menjadi inspirasi kepada Jurgen Klopp dan Thomas Tuchel menjadi pengurus RB Leipzig pada musim 2018-19.

Di Leipzig, Rangnick hanya membenarkan pemainnya menggunakan kereta kelab ke pusat latihan dan bukannya kenderaan peribadi.

Jika peraturan sama dikenakan di Old Trafford, ia satu kejutan kepada skuad itu yang sebelum ini jenama seperti Aston Martin, Lamborghini, Mercedes dan Range Rover kerap keluar masuk ke Carrington.

sumber:- HM

Rangnick dijangka memulakan tugas ketika pert3mbungan United dengan Arsenal pada Jumaat ini jika permit kerjanya dapat diselesaikan tepat pada waktunya.