Sukan

JDT tidak boleh terlalu yakin — Jamal

Peluang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuala Lumpur City (KL City) menjulang kejuaraan di pentas akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini dilihat seimbang.

Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, peluang kedua pasukan untuk merangkul kejuaraan 50-50 dengan pasukan yang banyak melakukan kesilapan akan mengundang padah.

Menurutnya, selaku juara bertahan JDT tidak boleh terlalu yakin dengan kecemerlangan sepanjang musim ini kerana ia tidak menjamin laluan mudah untuk mengulangi pencapaian sama malam ini.

Katanya, sekiranya pemain JDT bimbingan ketua jurulatih, Benjamin Mora terus dilamun rekod cemerlang sebelum ini, tidak mustahil mereka akan menerima akibatnya kerana lawan pasti turun dengan misi menjulang Piala Malaysia selepas 32 tahun tidak berpeluang beraksi di pentas akhir Piala Malaysia.

Saya yakin pemain Kuala Lumpur City bimbingan jurulatih Bojan Hodak akan turun dengan semangat juang yang begitu menebal selepas menempuh pelbagai cabaran di peringkat saingan Piala Malaysia.

“Semangat melawan pastinya menjadi penentu pada pertembungan dijangka sengit malam,” katanya, di sini hari ini.

Katanya, kekuatan JDT tidak perlu dipertikaikan apabila membariskan ramai pemain terbaik negara, kelebihan itu yang membezakan dengan KL City.

Bagaimanapun, Jamal Nasir berkata, pasukan yang banyak melakukan kesilapan terutama di penghujung permainan pasti akan berputih mata.

sumber:- BH

“Saya berharap perlawanan akhir Piala Malaysia malam ini dapat menyajikan persembahan yang terbaik dan menghiburkan peminat bola sepak tanah air. Saya yakin kedua-dua pasukan sudah mengatur corak permainan akan digunakan dalam usaha menjerat lawan,” katanya.