Sama ada Melaka United atau Kuala Lumpur City (KL City) yang akan mara ke pentas final Piala Malaysia musim ini, sejarah tetap akan tercipta selepas aksi separuh akhir kedua di Stadium Hang Jebat, malam ini.
Bagaimanapun, sejarah lebih besar akan tercipta buat Melaka sekiranya mereka mampu melangkah ke final kerana sepanjang ‘usia’ 100 tahun Piala Malaysia, skuad Hang Tuah tidak pernah mara ke pentas akhir.
Justeru, dengan aksi di gelanggang sendiri dan kelebihan jaringan tempat lawan yang diraih ketika terikat 1-1 pada aksi pertama, ini peluang terbaik buat Melaka berada di pentas akhir buat kali pertama ketika saingan tertua Asia Tenggara itu akan meraikan ulang tahun ke-100 musim ini.
Strategi terbaik perlu direncanakan ketua jurulatih, Zainal Abidin Hassan yang mana keputusan seri tanpa jaringan sudah memadai buat mereka untuk meneruskan perjalanan ke Stadium Nasional, Bukit Jalil untuk aksi final, Selasa ini.
Kemungkinan besar juga taktikal lebih kepada bertahan akan digunakan Zainal untuk mengelak KL City memadam kelebihan gol tempat lawan yang dimiliki Melaka.
Bagi Kuala Lumpur pula, mereka juga akan mencipta rekod kedua di Piala Malaysia musim ini jika berjaya mara ke final sudah memecahkan rekod penantian selama 29 tahun untuk mara ke pusingan kalah mat! kejohanan itu.
Namun, sekiranya melangkah ke final, anak buah Bojan Hodak akan melakar sejarah lebih besar dari itu apabila akan menamatkan penantian selama 32 tahun untuk beraksi di final Piala Malaysia selepas kali terakhir pada 1989.
KL City yang pernah muncul juara tiga kali berturut-turut pada 1987, 1988 dan 1989 bagaimanapun berdepan tugas lebih berat berbanding Melaka United kerana mereka wajib mendapatkan jaringan di Stadium Hang Jebat.
sumber:- HM
Berdasarkan prestasi sepanjang musim ini, tidak mustahil sebenarnya untuk skuad City Boys mencipta kejutan ke atas Melaka walaupun mengikut rekod mereka pernah tewas 1-2 di gelanggang sama dalam aksi Liga Super, Mac lalu.