Berakhirnya musim 2021 buat Selangor FC selepas tersingkir di peringkat suku akhir Piala Malaysia, mereka tampak sudah menyusun perancangan untuk mengharungi musim 2022.
Persediaan mereka untuk berdepan musim baharu dimulakan dengan terus memberi kepercayaan menerusi pengekalan beberapa tonggak pada musim ini.
Beberapa pemain The Red G!ants sudah menyatakan kesetiaan untuk terus bersama mereka antaranya kapten pasukan, Brendan Gan dan pertahanan tengah, Ashmawi Yakin.
Bintang muda yang mencuri perhatian pada musim 2021 ketika dipinjamkan bersama Penang FC, Quentin Cheng turut melanjutkan kontraknya untuk musim 2022 dan dijangka berada dalam perancangan pasukan itu bagi musim baharu nanti.
Penjaga gol, Khairulazhan Khalid juga terus bersama Selangor untuk musim ketujuh selepas mula menyertai Gergasi Merah pada 2016 selain berjaya mengekalkan dua pemain di jentera serangan iaitu Hakim Hassan dan juga Shahrel Fikri Md Fauzi.
Selain itu, Selangor juga mengikat ‘masa depan’ mereka apabila lima pemain muda mereka menandatangani kontrak jangka masa panjang bersama juara 33 kali Piala Malaysia itu.
Lima ‘ubi’ muda itu semuanya berusia 22 tahun ke bawah iaitu Sharul Nazeem Zulpakar (22), Ahmad Danial Asri (21), Aliff Haiqal Lau (21), Mukhairi Ajmal Mahadi (20) dan Hein Htet Aung.
Lima pemain terbabit diberi peluang membarisi skuad utama Selangir pada musim ini dan dilihat berjaya mencetus impak dan memberi lebih banyak pilihan kepada pengendali pasukan dengan kelebihan yang dimiliki mereka.
sumber:- BH
Dengan peluang yang diberikan bagi musim depan, sudah pasti ini akan lebih mematangkan corak permainan mereka sekali gus menguntungkan Selangor pada masa akan datang.