Sukan

Cheng Hoe lakukan perubahan

Tahap taktikal pemain khususnya kawalan dan penguasaan dengan bola menjadi tumpuan barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya sepanjang sesi latihan fasa pertama membabitkan kumpulan kecil seramai 12 pemain ketika ini.

Jelas pengendali negara, Tan Cheng Hoe, beliau terpaksa mengubah corak latihan pasukan kepada taktikal individu sebelum 16 lagi baki pemain yang beraksi di peringkat separuh akhir dan final Piala Malaysia melaporkan diri selepas ini.

Katanya, ia penting bagi memastikan tahap kecergasan pemain sentiasa berada pada tahap optimum menjelang saingan Piala AFF yang dijadual berlangsung di Singapura dari 5 Disember hingga 1 Januari ini.

Untuk kumpulan kecil ini minggu pertama, kita nak kekalkan tahap kecergasan mereka dan ada juga sebahagian pemain yang keletihan (selepas harungi suku akhir Piala Malaysia).

“Itu sebab kita kena ubah cara latihan kita dan tumpuan utama kita adalah kekalkan tahap kecergasan mereka dan meningkatkan lagi tahap taktikal setiap individu pemain,” katanya.

Seramai 28 pemain disenaraikan Cheng Hoe untuk menghadapi kempen Piala AFF di mana skuad Harimau Malaya diletakkan sasaran mara ke pentas final sekali gus cuba mengulangi pencapaian 2010 dengan menjulang trofi itu.

Daripada pemain itu, empat daripadanya adalah tonggak yang berpangkalan di luar negara dan mereka akan terus menyertai pasukan di Singapura membabitkan Junior Eldstal, Dominic Tan, Luqman Hakim Shamsudin dan Dion Cools.

sumber:- HM

Di saingan serantau itu nanti, Malaysia yang juga naib juara edisi lalu diletakkan dalam Kumpulan B bersama-sama Laos, Kemboja, Indonesia dan Vietnam.