Sukan

Dua import berpengalaman perkuat Kedah musim hadapan

Kedah Darul Aman (KDA) FC yang tersingkir dari saingan Piala Malaysia 2021 memulakan langkah membentuk skuad mereka bagi musim 2022 dengan sasaran mahu mendapatkan sentuhan dua pemain import berpengalaman yang sedang beraksi di saingan Liga Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali berkata, dua pemain tersebut diyakini mampu memperkuatkan jentera tengah Hijau Kuning untuk memberikan cabaran pada saingan Liga Malaysia dan juga pentas Piala AFC musim hadapan.

Menurutnya, pihaknya berusaha memberikan tumpuan untuk meningkatkan lagi kualiti bahagian tengah pasukan agar lebih baik berbanding musim 2021 selepas menilai secara menyeluruh prestasi pemain-pemain yang sedia ada.

Dua pemain tersebut adalah pemain import berpengalaman yang beraksi di Liga Malaysia terutama pada aksi Piala Malaysia.

“Kedua-duanya memang dikenali dan jika dapat direalisasikan, kita berharap kehadiran mereka dapat membentuk penguasaan yang lebih baik pada musim 2022,” katanya ketika dihubungi pemberita pada Isnin.

Khamal Idris berkata, gerak kerja awal yang dilakukan oleh KDA FC adalah untuk mengatur strategi bagi memastikan kemampuan pasukan terus meningkat demi mencapai objektif dan sasaran baharu pada musim hadapan.

Pada masa sama, beliau mengesahkan mahu terus mengekalkan khidmat Aidil Sharin Ishak untuk terus memimpin Hijau Kuning pada musim 2022 dan sudahpun menyatakan hasrat kepada pengendali dari Singapura itu.

Menurutnya, pasukan tersebut sedang menunggu kata putus daripada ketua jurulatih itu yang sudah bersama sejak tahun 2019.

Khidmat beliau masih lagi diperlukan oleh kami bagi meneruskan perjuangan KDA FC yang perlu melalui saingan lebih sengit pada saingan Liga Malaysia dan Piala AFC 2022.

sumber:- SH

“Perancangan bagi musim hadapan sudahpun mencecah 80 peratus dan kami berharap apa yang digariskan ini menjadi kenyataan,” ujarnya.