Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim menyifatkan laporan yang menyatakan Forest City adalah projek yang gagal, adalah satu fitnah.

Tunku Ismail bertitah, laporan berkenaan adalah tidak benar dan disebarkan pihak tertentu.

Saya ingin membalas dakwaan yang tular di media sosial yang menyatakan bahawa projek Forest City adalah projek yang gagal. Ini adalah tidak benar dan adalah fitnah yang disebarkan pihak-pihak tertentu.

Forest City adalah sebuah projek yang sedang dibangunkan secara mampan dan berterusan.

“Projek ini sudah pun menyumbang pendapatan RM630 juta kepada kerajaan Johor dalam bentuk bayaran cukai serta dividen malah mencipta pekerjaan untuk 1,200 rakyat tempatan selain menganugerahkan kontrak kerja bernilai RM1.4 bilion kepada 150 syarikat kontraktor tempatan,” titahnya dalam kenyataan di Facebook.

Kelmarin, satu saluran YouTube, Top Luxury, telah menyenaraikan projek mega Forest City sebagai satu daripada lima projek mega yang paling tidak berguna di dunia.

Forest City adalah satu projek futuristik mewah dilancarkan di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 2016 yang dibina di atas empat pulau buatan yang terletak hanya sejam dari Singapura.

Projek yang mempromosikan ‘eco-smart city’ dengan nilai AS$100 bilion (RM413.77 bilion) itu pada awal pembinaannya dijangka berpotensi menempatkan hingga 700,000 penduduk apabila siap sepenuhnya pada 2035.

Sementara itu, Tunku Ismail bertitah, projek Forest City telah membuka peluang untuk memajukan industri pembinaan di Johor untuk jangka masa panjang.

Titahnya, pada akhir bulan lalu, Forest City juga telah menerima anugerah Global Model of Low-Carbon City Planning and Design Award dari Sustainable Cities and Human Settlements Award (SCAHSA).

Ini menunjukkan bahawa projek ini tidak gagal, sebaliknya menarik perhatian di persada dunia dengan kemajuan teknologinya.

Cabaran juga dihadapi dengan w@bak C0VID-19 yang bukan sahaja melanda Johor, malah seluruh dunia.

Situasi ekonomi yang tidak memberangsangkan juga telah menyebabkan kadar penjualan yang kurang. Juga perlu diingatkan bahawa dasar Kerajaan Persekutuan yang tidak konsisten turut menyebabkan keyakinan pelabur terhadap negara kita terjejas.

sumber:- BH

“Saya berharap dengan polisi yang lebih stabil pada masa akan datang dan apabila situasi ekonomi sudah bertambah baik, lebih ramai pelabur akan datang ke negara ini dan melabur di sini,” titah baginda.