Selepas muncul penjaring tempatan terbanyak Piala Malaysia setakat ini dengan mengumpul lima gol, pemain sayap lincah Terengganu FC (TFC), Mohd Faisal Halim akui belum puas sambil bertekad untuk membvru jaringan seterusnya berdepan Sarawak United FC pada aksi suku akhir kedua di Stadium UiTM, Shah Alam, Khamis ini.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu juga idam untuk meledak jaringan seawal mungkin dalam misi meloloskan diri ke peringkat separuh akhir saingan trofi berprestij edisi ke-100 itu.

Bagaimanapun pemain yang lebih mesra dipanggil ‘Mickey’ tidak meletakkan sasaran utamanya menjaringkan gol sebaliknya lebih penting membantu pasukan selepas kali terakhir ke final pada 2018.

Lima jaringan setakat ini adalah pencapaian terbaik saya dalam saingan Piala Malaysia, saya begitu gembira kerana dapat membantu pasukan melakar kemenangan dalam setiap perlawanan.

Saya harapkan aksi konsisten dapat dipamerkan bertemu Sarawak United FC, Khamis ini dalam misi untuk melangkah ke peringkat separuh akhir saingan Piala Malaysia.

“Justeru jaringan awal penting bagi meniupkan semangat kami dan pada masa sama perlu elakkan daripada melakukan kesilapan yang boleh membawa padah kepada pasukan,” katanya ketika ditemui di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Ketika ditanya siapa yang menjadi pilihannya di posisi serangan antara striker kelahiran Brazil, David Da Silva dan Jordan Mintah dari Ghana, bekas pemain Pahang musim lalu itu menyatakan kedua-dua pemain itu mempunyai kelebihannya yang tersendiri.

Pada aksi suku akhir pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Ahad lalu, skuad kendalian Nafuzi Zain itu hanya mempunyai bekalan tipis selepas melakar kemenangan 2-1.

sumber:- HM

Jaringan pertama diperolehi menerusi Faisal yang merembat dari luar kotak penalti yang menggamatkan hampir 9,000 peminat setia skuad Penyu sebelum rakan sepasukannya, Faiz Nasir menyumbat gol kedua manakala gol saguhati pelawat hasil jaringan sendiri pertahanan TFC, Shahrul Nizam Ros Hasni.