Dua gol pantas dalam tempoh lapan minit selepas babak kedua bersambung membantu mengubah nasib Terengganu FC (TFC) sehingga berjaya meraih kemenangan 4-1 ke atas Perak FC pada aksi Piala Malaysia di Stadium Perak, Ipoh, kelmarin.

Situasi itu diakui pengendali skuad Penyu, Nafuzi Zain yang menganggap anak buahnya bernasib baik dapat pulang dengan tiga mata selepas bergelut dengan permainan penuh bersemangat dari pemain muda The Bos Gaurus pada babak pertama.

Katanya, tiada perlawanan yang mudah buat anak buahnya meskipun kemenangan besar yang diraih ke atas pendatang baharu Liga Perdana musim depan itu menceritakan kisah yang sebaliknya.

Mungkin orang nampak mudah tetapi sebenarnya kita lihat Perak bermain dengan sangat baik apatah lagi mendapat suntikan motivasi dengan kehadiran penyokong. S3rangan balas pantas mereka juga baik dan mereka sangat bersemangat.

Saya sudah menjangkakan kita akan bergelut kerana pemain Perak menunjukkan banyak peningkatan. Kita bernasib baik dengan dua gol awal pada separuh masa kedua kerana dengan jaringan itu, ia memudahkan permainan kita.

“Memang dua jaringan itu menjadi detik pengubah dan kita boleh bertenang sedikit. Tetapi ia bukanlah satu perlawanan yang mudah untuk kita,” katanya.

Kemenangan terbabit memastikan TFC terus unggul dengan rekod bersih tiga kemenangan dalam tiga perlawanan sekali gus mendahului Kumpulan B dengan sembilan mata.

Dalam perkembangan sama, Nafuzi juga menegaskan beberapa kelemahan perlu diperbaiki memandangkan mereka akan berentap dengan lawan yang sama pada aksi di laman sendiri, Rabu ini.

Ada lagi kelemahan yang perlu ditambah baik khususnya daripada segi kombinasi permainan, pergerakan serta pertahanan. Kita lihat barisan pertahanan kita mudah ditembusi Perak khususnya pada separuh masa pertama.

sumber:- BH

“Kita juga perlu melihat pemain yang boleh beraksi dan teruskan bekerja keras pada sesi latihan,” katanya.