Sukan

Terengganu FC berpesta gol

Perak FC gagal memanfaat peluang bermain di laman sendiri dengan kehadiran penyokong apabila tewas ke atas Terengganu FC 1-4 di dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Perak, di sini pada Sabtu.

Minit awal perlawanan kedua-dua pasukan sering mencipta peluang namun pertahanan masing-masing berjaya menyerap tekanan.

Perak mendapat peluang terbaik menerusi Muhamad Syahir Bashah selepas mendapat lorongan sepakan percuma daripada Sergio Aguero namun melepasi palang gol.

Pasukan lawan kemudiannya mengatur gerak dan hasilnya pada minit ke-8 mereka berjaya memperoleh gol menerusi sepakan Faisal Halim menewaskan penjaga gol, Hafizul Hakim sekaligus Terengganu mendahului 1-0.

Pada minit ke-17, Perak berpeluang menyamakan kedudukan apabila penyerang mereka, Sergio Aguero berjaya melarikan bola namun cubaannya berjaya ditangkap kemas penjaga gawang Terengganu FC, Mohd Sharmiza Yusoff.

Tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-21 selepas Firdaus Sayadi dijatuhkan pertahanan Terengganu FC, Shahrul Nizam di dalam kotak penalti.

Peluang itu dimanfaatkan sebaiknya oleh Sergio Aguero yang merembat masuk ke gawang lawan menjadikan kedudukan seimbang 1-1 sama.

Gawang Perak nyaris bolos lagi selepas r3mbatan pemain Terengganu FC, Lee Tuck yang mengenai kaki pertahanan Perak, Danish Haziq meluru ke sebelah kanan pintu gol bagaimanapun sedikit tersasar.

Skuad kendalian Mohd Shahril Nizam terus diasak lawan dengan beberapa percubaan oleh striker Terengganu FC, Lee Tuck dan Jordan Mintah.

Dalam serangan bertali arus Terengganu FC ke gawang lawan, Perak FC mendapat peluang untuk menjaringkan gol menerusi rembatan Izzuddin Roslan namun melewati palang gol.

Perlawanan separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan kekal terikat 1-1.

Bermula babak kedua, Terengganu FC berjaya mendapat gol awal pada minit ke-47 selepas pemain Perak FC, Danish Haziq tertanduk masuk hantaran penyerang lawan, Lee Tuck ke gawang sendiri menjadikan kedudukan 1-2.

Berselang 7 minit kemudian, Perak FC terus dirundung malang apabila pemain tengah lawan, Lee Tuck menambah jaringan ketiga buat Terengganu FC.

Perak FC kemudian membuat beberapa pertukaran pemain bagi menyusun strategi baharu untuk mengekang asakan bertali arus pasukan lawan.

Sementara itu pada minit ke-65, pengadil perlawanan C Ravichandran melayangkan kad kuning kepada pemain Terengganu FC, Calos De Murga.

Pemain Terengganu FC, Lee Tuck terus menambah derita Perak FC apabila menambah lagi jaringan menjadikan kedudukan 1-4 pada minit ke-83.

sumber:- SH

Kemenangan Terengganu FC ke atas Perak FC mengesahkan peluang mereka untuk beraksi ke peringkat Suku Akhir Piala Malaysia.