Sukan

Sri Pahang FC bangkit luar biasa

Sri Pahang FC bangkit mencatat kemenangan pertama dalam saingan Piala Malaysia apabila menewaskan Penang FC 4-0 di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.

Kemenangan itu menghidvpkan kembali peluang skuad Dollah Salleh untuk menempah tiket ke suku akhir piala berprestij itu.

Ini kerana pada dua perlawanan sebelum ini skuad Tok Gajah tewas 1-3 di tangan Kuala Lumpur (KL) City FC dan Sarawak United (0-1).

Pada perlawanan ketiga Kumpulan A itu, skuad Tok Gajah yang perlu menang bermain dengan baik dan tidak perlu menunggu lama untuk menjaringkan gol pendahuluan.

Gol pendahuluan dijaringkan oleh penyerang, Abdul Malik Mat Ariff yang berjaya menewaskan penjaga gol Penang FC, Tian Keat See pada minit ke-11.

Tersentak jaringan itu, Penang FC turut melakukan asakan ke kubu tuan rumah tetapi berjaya dinafikan jentera pertahanan yang diketuai kapten pasukan, Herold Goulon.

Peluang terbaik dimiliki penyerang import Penang FC, Sheriddin Boboev tetapi bola daripada sepakan percuma sedikit melepasi palang pada minit ke-23.

Dua minit babak kedua bersambung, pemain import tuan rumah, Manuel Hidalgo menjaringkan gol kedua untuk mengukuhkan kedudukan pasukan.

Belum sempat lawan mengatur strategi, Abdul Malik menjaringkan gol ketiga buat Sri Pahang pada minit ke-55 sebelum Abubakar Yakubu menyumbang gol keempat pada minit ke-72.

sumber:- BH

Kemenangan itu sudah pasti melegakan Sri Pahang manakala Penang perlu bangkit jika mahu menempah tempat ke suku akhir piala berprestij itu.