Sukan

Selangor makan besar

Selangor FC kembali menemui rentak kemenangan apabila berjaya mengatasi Kuching City 5-1 dalam saingan Piala Malaysia di Stadium MBPJ, sebentar tadi.

Skuad kendalian Karsten Neitzeil itu memasuki perlawanan selepas tewas kepada Terengganu 2-1 dalam aksi terdahulu, meletakkan sasaran untuk memperkukuhkan semula kedudukan mereka dalam Kumpulan B bagi memastikan mereka layak ke peringkat seterusnya.

Selangor membuka jaringan menerusi Hein Htet Aung seawal minit pertama permainan, percubaan Danial Asri terkena palang namun berjaya ditampan masuk Htet Aung.

Kuching City menyamakan kedudukan pada minit ke-11 apabila Michael Ijezie menyempurnakan susulan bola terkena pemain Selangor, Shivan Pillay.
Kedudukan 1-1 kekal hampir 60 minit waktu permainan sebelum Danial meletakkan Selangor di hadapan apabila menampan masuk bola selepas percubaan Jordan Ayimbila ditepis penjaga gol.

Selangor terus mengukuhkan kedudukan apabila dua jaringan berjaya terhasil menerusi Safuwan Baharuddin dan Danial.

Ketika perlawanan sudah menjadi milik Selangor, Shahrel Fikir melengkapkan kemenangan yang cukup bergaya sekaligus menghidupkan peluang mereka untuk membvru slot ke suku akhir.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Cheras, KL City turut merekodkan kemenangan bergaya apabila mengatasi Sarawak United dalam saingan Kumpulan A.
Dua jaringan pantas Romel Morales pada minit kesembilan dan ke-12 tenang mengawal rentak perlawanan sebelum dua jaringan yang disempurnakan J. Partiban dan Ryan Lambert membenarkan skuad The City Boys ke puncak Kumpulan A.