Sukan

JDT jadi cabaran besar pertama

Pengendali baharu Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengakui berdepan tugas berat untuk menyekat Johor Darul Ta’zim (JDT) daripada mengutip mata ketika bertandang ke Stadium Likas pada aksi Piala Malaysia, Jumaat ini.

Beliau turut mengakui ia adalah cabaran besar pertamanya bersama Sabah selepas secara rasmi dilantik sebagai ketua jurulatih skuad Sang Badak itu bermula pada 1 Oktober lalu.

Jelasnya, Sabah berdepan banyak kelemahan berbanding JDT dan mereka hanya berbekal latihan selama sebulan untuk menghadapi pasukan yang disegani itu.

Kita hanya mampu berharap persiapan rapi selama sebulan ini dapat diterjemahkan oleh pemain dengan keputusan yang positif. Apa yang penting semua pemain perlu fokus agar dapat menyaingi JDT.

Tidak dinafikan, Sabah juga ada kekuatan tersendiri tetapi kelemahan kita yang paling ketara ialah dibolosi begitu banyak gol dalam saingan Liga Super lalu.

“Kita tidak boleh mengulangi kesilapan dan kelemahan yang ada ketika bertemu JDT nanti dan percayalah banyak perkara diperbaiki sepanjang tempoh rehat sebulan ini,” katanya mengulas persiapan Sabah men3ntang pasukan pilihan itu.

Di sebalik kesukaran yang dijangka, Kim Swee bagaimanapun positif aksi anak buahnya kali ini lebih baik dan mampu menyukarkan JDT menguasai perlawanan.

“Kita perlu yakin bahawa bermain di laman sendiri adalah satu kekuatan yang kita ada di samping sokongan daripada penyokong selepas dibenarkan hadir ke stadium bagi menyaksikan perlawanan Piala Malaysia bermula Jumaat ini,” katanya.

Sementara itu, pemain Sabah yakin pasukan mereka mampu meraih tiga mata penting jika semua mengekalkan disiplin dan semangat juang tinggi.

Pemain tengah, Hamran Peter berkata kehadiran Kim Swee membawa semangat baharu kepada pasukan untuk bermain lebih cemerlang dalam mengharungi baki saingan.

“Kita lebih berkeyakinan berbanding sebelum ini. Semua pemain yakin dengan perubahan besar yang dilakukan Datuk Ong Kim Swee,” katanya.

sumber:-  BH

Sementara itu, pemain import dari Korea Selatan, Park Taesu menyifatkan corak latihan yang diterapkan Kim Swee sangat berkualiti dan berjalan dalam suasana yang sangat baik.