Sukan

Sikh Izhan akui tiada jaminan untuknya

Pusingan kelayakan Piala Asia Bawah 23 tahun (B-23) di Mongolia esok tampak menjadi medan terbaik buat ‘ubi muda’ memperagakan kemampuan masing-masing untuk memancing minat dari ejen antarabangsa.

Justeru, penjaga gol skuad Bawah 22 tahun negara (B-22), Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman mahu memanfaatkan sepenuhnya jika diberi kepercayaan untuk beraksi kerana berkelana di luar negara sememangnya menjadi impian pemain berusia 19 tahun itu.

Pada pandangan saya, pertandingan AFC adalah satu penanda aras yang bagus. Jadi kalau saya dapat bermain di AFC, ejen luar mungkin akan menilai daripada pertandingan yang bertaraf tinggi seperti ini.

Ini satu perkembangan yang baik untuk meningkatkan lagi fizikal dan cara permainan saya. Sudah tentu saya bersedia untuk beraksi di luar. Bukan saya mahu katakan Liga Malaysia (Liga M) tidak bagus tetapi saya mahu mencari pengalaman yang lebih baik, katanya.

Ketika ini, penjaga gol Selangor FC (SFC) itu mendapat tawaran untuk menjalani latihan percubaan bersama pasukan divisyen dua dari Sepanyol, CF Fuenlabrada dan akan terbang ke sana selepas selesai tugasan di Mongolia.

Dalam masa sama, Sikh Izhan mengakui tiada jaminan untuknya menyarung jersi nombor satu skuad negara memandangkan persaingan sengit ditunjukkan oleh beberapa penjaga gol yang lain.

“Saingan amat sengit. Jadi sesiapa pun boleh menjadi penjaga gol utama skuad B-22. Saya harap siapa pun yang diturunkan bermain dan diberikan tanggungjawab dapat memberikan yang terbaik.

sumber:- BH

“Tidak kisahlah bertemu pasukan mana sekalipun, kita perlu berikan 100 peratus,” katanya