Sukan

Bukan tindakan ‘syok sendiri’

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menjelaskan keputusan kemenangan secara automatik kepada pasukan lawan bermula aksi ketiga dalam saingan Kumpulan C Piala Malaysia membabitkan pertemuan Negeri Sembilan FC (NSFC) diambil merujuk kepada peraturan yang sedia ada dan bukan tindakan ‘syok sendiri’.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Stuart Ramalingam menjelaskan bahawa Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Penganjuran Perlawanan Piala Malaysia 2021 sudah dihantar kepada setiap pasukan dan keputusan yang diambil adalah merujuk kepada peraturan itu.

Beliau berkata, pihak berkaitan tidak boleh menyamakan situasi saingan Piala Malaysia seperti kempen kelayakan Asia untuk Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023.

Katanya, keputusan memberikan kemenangan percuma 3-0 kepada pasukan lawan dalam kumpulan C tidak akan menjejaskan kedudukan atau saingan kumpulan lain dalam kempen Piala Malaysia.

Situasi berkenaan berbeza pula pada kempen kelayakan Asia untuk Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 lalu apabila Korea Utara menarik diri menyebabkan keputusan perlawanan antara pasukan di tempat kedua dan kelima dalam Kumpulan A hingga G tidak diambil kira bagi memastikan penentuan seimbang berbanding kesemua naib juara kumpulan.

“Namun, kempen Piala Malaysia ini, kemenangan yang diberikan kepada pasukan dalam Kumpulan C sekali bagi baki perlawanan tidak akan menjejaskan kelab daripada kumpulan lain untuk melangkah ke pusingan seterusnya, senario kelayakan yang berbeza kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) kerana kumpulan mereka semuanya saling berkaitan” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, MFL mengumumkan perlawanan NSFC di dalam kempen Piala Malaysia 2021 secara automatik diberikan kemenangan 3-0 kepada pasukan lawan bermula aksi ketiga dalam saingan Kumpulan C akan datang.

Keputusan itu diambil berdasarkan kepada Bahagian 13: Pematuhan SOP Penganjuran Perlawanan Piala Malaysia 2021, sekiranya terdapat pegawai atau pemain yang didapati positif Covid-19 dan mereka wajib menjalani kuarant!n 14 hari seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Situasi berkenaan sekali gus menyebabkan kelab tidak dapat menjalani latihan dan menyertai pertandingan, maka, perlawanan yang membabitkan kelab terbabit akan dibatalkan serta dikira kalah 0-3.

Baki empat perlawanan NSFC dalam kempen Piala Malaysia 2021 adalah pertemuan menentang Kedah Darul Aman FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 29 Oktober ini dan di Stadium Darul Aman, Alor Setar (2 November 2021), Melaka United FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi (6 November) dan Kelantan United FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 9 November depan.

Baru-baru ini, arena bola sepak negara dikejutkan 20 pemain dan empat pegawai NSFC disahkan positif C0vid-19 baru-baru ini.

Menerusi kenyataan media Negeri Sembilan FC memaklumkan bahawa pasukan itu terpaksa menarik diri daripada beraksi pada baki perlawanan Piala Malaysia yang akan bersambung hujung bulan ini.

sumber:- HM

Hal ini kerana, juara Liga Perdana itu terpaksa berehat panjang selepas perlu menjalani kuarantin wajib 10 hari di rumah dengan dipantau oleh KKM.