Sukan

Berita Gembira untuk skuad negara

Skuad bawah 22 tahun (B-22) negara berjaya mendapatkan khidmat seorang lagi pemain berpangkalan di luar negara iaitu Annil Vigneswaran untuk memperkuat pasukan itu pada kelayakan Piala Asia B-23 2022 di Mongolia, minggu depan.

Kehadiran pemain yang beraksi bersama SGV Freiberg di Jerman itu pasti menggembirakan pengendalinya, Brad Maloney yang sebelum ini mengakui pemain itu sememangnya berada dalam perancangannya untuk pusingan kelayakan terbabit.

Pemain berusia 18 tahun yang beraksi di bahagian pertahanan itu akan terus menyertai pasukan negara setibanya di Ulaanbaatar nanti.

“Kita sudah bertemu Annil pada Disember lalu dan kita sentiasa memantau perkembangannya. Saya rasa pemain itu sesuai dengan perancangan kita jika kita berjaya mendapat khidmatnya,” kata Maloney.

Selain itu, skuad B-22 turut diperkuat dengan empat pemain kebangsaan iaitu Mukhairi Ajmal Mahadi, Hakimi Abdullah, Quentin Cheng dan dan Luqman Hakim Shamsudin meskipun baharu sahaja menyertai pasukan itu, kelmarin.

Dalam senarai akhir 23 pemain itu yang diumumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini, dua pemain baharu yang dipanggil turut ‘lolos’ ke Mongolia iaitu Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar dan Harith Haiqal Adam Afkar.

Selepas penilaian akhir dibuat, sembilan pemain digugurkan kerana masalah kecederaan iaitu Ahmad Aysar Hadi Mohd Shapri, Firdaus Ramli, Alif Mutalib dan Chia Ruo Han serta K Thivandaran.

Turut tidak tersenarai adalah Firdaus Irman Fadhil, Khairi Suffian Khaineyusri, Aidil Azuan dan Saiful Iskandar Adha Saiful Azlan.

Skuad bimbingan Maloney akan bertolak ke Ulaanbatar esok untuk tiga aksi berdepan Laos (25 Oktober) diikuti tuan rumah, Mongolia (28 Oktober) dan aksi terakhir menentang Thailand (31 Oktober).

sumber:- BH

Ketiga tiga perlawanan bakal berlangsung di Stadium MFF, Ulaanbaatar yang menggunakan permukaan padang rumput tiruan.