Tewas pada dua aksi awal dalam saingan Piala Malaysia Kumpulan C selain menghuni di tangga tercorot bukan penamat buat skuad Liga Perdana, Kelantan United FC (KUFC) untuk membvru tiket ke suku akhir.
Sebaliknya skuad Kijang Hijau kendalian Nazrulerwan Makmor atau lebih dikenali sebagai ‘Badut’ itu mempunyai keazaman yang tinggi untuk bangkit sebaik aksi piala berprestij itu kembali bersambung pada hujung bulan ini.
Nazrulerwan berkata, tiada istilah panik ataupun mengibarkan ‘bendera putih’ walaupun sehingga kini skuadnya masih gagal meraih sebarang mata selepas tumpas 0-3 kepada Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada aksi pertama diikuti tewas 0-1 kepada juara Liga Perdana musim ini, Negeri Sembilan FC (NSFC).
Saya akui dua kekalahan pada aksi awal Piala Malaysia adalah disebabkan kelemahan secara individu sekali gus membolehkan pasukan lawan mudah mer0bek kubu pasukan selain kami tidak menemui sentuhan jaringan.
Selepas kami mengenal pasti kelemahan itu, dalam tempoh rehat ini kami menggandakan latihan selain mengatur beberapa aksi persahabatan, Alhamdulillah corak permainan mereka semakin meningkat dan lebih berkeyakinan sebagaimana ketika aksi persahabatan bertemu Sri Pahang FC pada Sabtu dan Terengganu FC (TFC) malam ini (malam tadi), walaupun kedua-dua aksi kami tewas 0-2 dan 1-2, tapi mereka mempamerkan aksi lebih baik sekali gus memberi kelegaan kepada kami.
“Bagaimanapun kami menuntut semua pemain berusaha lebih keras lagi terutama empat tenaga import bagi memastikan pasukan tidak keciciran mata lagi dalam empat baki perlawanan peringkat kumpulan,” katanya ketika ditemui selepas aksi persahabatan menentang TFC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.
Pada perlawanan yang memihak kepada skuad Penyu itu, gol pertama tuan rumah dijaringkan penyerang kelahiran Brazil, David Da Silva pada babak pertama dan satu jaringan lagi hasil tandukan pemain Terengganu FC II (TFC II), Jordan Mintah pada babak kedua manakala gol tunggal KUFC dijaringkan bekas pemain kebangsaan, Syahrul Azwari Ibrahim menerusi sepakan percuma seminit sebelum tamat perlawanan.
Skuad yang dibarisi tiga ‘Samurai’ dari Jepun iaitu Masashi Motoyama, Shuhei Fukai dan Yuki Tanigawa serta seorang pemain dari Gambia, Gassama Al Fusainey bakal berkunjung ke Stadium Hang Jebat pada 29 Oktober ini menentang Melaka United FC (MUFC).