Sukan

Pemain senior yang banyak beri tunjuk ajar

Muka baru Harimau Malaya, Arif Fadzilah, menjelaskan perlu ada komunikasi jelas di atas padang melibatkan pemain lama dan pemain baru.

Anggota skuad Peteh itu merupakan antara pemain baru dalam dua perlawanan di peringkat senior minggu lalu , sekali gus menaruh harapan tersenarai ke Piala AFF hujung tahun ini.

Namun, dalam proses mengukuhkan posisi utama, anak jati Terengganu itu mengakui beberapa aspek perlu dimantapkan lagi khususnya faktor komunikasi agar tidak mengganggu kelancaran permainan.

“Daripada segi permainan, saya belum berpuas hati. Ini penampilan pertama saya dalam pasukan kebangsaan.

“Selain kesilapan, saya masih kurang serasi dengan rakan sepasukan,” katanya di Nadi Arena sebentar tadi.

Menerusi gandingan di atas padang bersama Hakimi Abdullah, keserasian mereka tampak seimbang berikutan merupakan rakan sepasukan di peringkat kelab.

Sebagai pemain baru, bekas pemain Felda United itu tidak menafikan keperluan menjadikan pemain senior sebagai rujukannya.

“Saya dapat belajar daripada pemain berpengalaman seperti Aidil (Zafuan Abdul Radzak) dan Baddrol (Bakhtiar). Mereka juga banyak beri tunjuk ajar daripada segi taktikal.

Sumber : SA

“Walaupun Hakimi juga kurang pengalaman tapi komunikasi kami agak baik.”