Striker skuad kebangsaan, Faisal Abdul Halim menjelaskan tidak akan melepaskan peluang sekiranya dia benar-benar mendapat tawaran beraksi di luar negara.
Ia selepas muncul dakwaan ejen pemain itu dari syarikat Estrada Sports Agency mendedahkan aksi Faisal ketika perlawanan persahabatan antarabangsa berdepan Jordan, Rabu lalu mendapat perhatian dua ejen dari Eropah.
Faisal bagaimanapun berkata, perkara paling penting ketika ini adalah memberi fokus sepenuhnya bersama Terengganu FC (TFC) yang masih bersaing dalam Piala Malaysia.
“saya memang inginkan bermain di luar negara. Tapi apa-apa sekali pun saya perlu fokus di Malaysia dulu bersama pasukan saya, Terengganu.
“Sekiranya rezeki untuk saya bermain di luar negara, saya akan pergi bermain di sana. Saya pun tak pasti sama ada benda ini betul atau tidak. Apa yang saya nak sampaikan, saya tak akan lepaskan peluang sebaik ini untuk saya bermain di luar negara,” katanya.
Semalam, BH Sukan melaporkan ejen kepada Faisal mengesahkan beliau dihubungi dua ejen dari Liga Sepanyol dan Portugal yang bertanya mengenai kontrak pemain berusia 23 tahun itu.
sumber:- BH
Faisal atau lebih mesra dengan panggilan Mickey menyertai TFC dari Sri Pahang pada musim ini dengan kontraknya akan berakhir hujung tahun depan.