Benteng pertahanan boleh dianggap sebagai bahagian ‘krit!kal’ yang perlu diberi perhatian oleh skuad Harimau Malaya menjelang saingan Piala AFF, hujung tahun ini.
Ia kerana hanya dalam dua perlawanan persahabatan antarabangsa, skuad kendalian Tan Cheng Hoe bolos sembilan gol selepas tewas 0-4 dan 1-5 di tangan Jordan dan Uzbekistan.
Malah, Cheng Hoe mengakui pihaknya tidak berpuas hati dengan statistik jumlah bolos yang direkodkan Harimau Malaya dalam dua aksi di Amman, Jordan itu.
Justeru, bekas pengendali Kedah itu menjelaskan masih banyak yang perlu diperbaiki bukan sahaja untuk Piala AFF, tetapi juga bagi menghadapi kelayakan Piala Asia, tahun depan.
Memang kita nampak satu statistik yang tidak memuaskan, bukan saja kami barisan jurulatih, sudah pasti semua tak puas hati sebab dalam dua perlawanan berkenaan kita dibolosi sembilan gol. Adakah disebabkan pertahanan atau keseluruhan pasukan atau (kesilapan) individu yang kita perlu perbaiki?
Dalam perlawanan antarabangsa, kalau pasukan tidak boleh bergerak sebagai satu pasukan dan tak dapat memberi hantaran yang tepat serta selalu hilang bola, kita akan ditekan oleh pihak lawan dan tak mampu bertahan 90 minit.
“Saya selalu beri nasihat kepada pemain yang kita kena tingkatkan keyakinan, kawalan bola dan juga hantaran. Bagi bola sepak moden sekarang, transisi memang pantas dan kalau kita buat kesilapan, kita akan dihukum.
“Kita nampak dalam kedua-dua perlawanan ini (berdepan Jordan dan Uzbekistan), banyak lagi perlu kita pelajari dan saya berasa kita perlu lebih ramai pemain yang berkualiti serta berbakat untuk masa hadapan skuad kebangsaan,” katanya.
sumber;- BH
Selepas meraih keputusan yang mengecewakan dalam dua aksi persahabatan itu, Cheng Hoe kini perlu memberi fokus sepenuhnya untuk membentuk skuad lebih mantap bagi Piala AFF yang dijadualkan berlangsung di Singapura dari 5 Disember hingga 1 Januari ini.