Skuad Harimau Malaya lebih mantap boleh dibentuk untuk menghadapi saingan Piala AFF 2020 yang dijadualkan berlangsung hujung tahun ini.

Ia selepas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe sudah mengenal pasti beberapa pemain berpotensi hasil dari dua aksi persahabatan berdepan Jordan dan Uzbekistan.

Malah, barisan pemain itu akan bergabung dengan beberapa ‘bintang’ yang tidak berada dalam skuad ketika ini termasuk Safawi Rasid, Mohamadou Sumareh, La’Vere Corbin-Ong, Matthew Davies dan Farizal Marlias bagi menghadapi ‘Piala Dunia’ Asia Tenggara itu.

Bekas pengendali Kedah itu bagaimanapun tampak enggan memberi jaminan bahawa skuad Harimau Malaya boleh mencipta kemenangan dalam setiap perlawanan yang bakal diharungi walaupun dibarisi kebanyakan pemain terbaik.

Sudah pasti sebagai jurulatih saya sentiasa berfikiran positif kita boleh dapatkan pasukan terbaik. Saya rasa mana-mana jurulatih di dunia pun kalau dia boleh kumpulkan pemain terbaik, dia pun tak boleh jamin akan menang keseluruhan.

“Kita perlukan kerjasama dari semua pihak untuk pastikan skuad kebangsaan berada pada satu landasan terbaik dalam persediaan ke Piala AFF dan kelayakan Piala Asia,” katanya pada sidang media, hari ini.

Harimau Malaya akan mengharungi saingan Piala AFF yang dijadualkan berlangsung di Singapura dari 5 Disember hingga 1 Januari depan selepas berdepan kempen kelayakan Piala Asia 2023 tahun depan.

Selain itu, Cheng Hoe turut memberi bayangan bahawa Faisal Halim yang menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam dua aksi persahabatan sebagai antara pemain yang bakal disenaraikan untuk menghadapi Piala Suzuki AFF.

Beliau bagaimanapun menjelaskan barisan jurulatih akan membuat penilaian dari semua aspek sebelum memutuskan pemain yang akan dipanggil nanti.

Sudah pasti pemain seperti Faisal kita nampak secara keseluruhan menonjol dan kita nampak Aidil (Zafuan Abd Radzak) masih lagi ada impak dalam pasukan, begitu juga Baddrol Bakhtiar.

sumber:- BH

“Kedua-dua pemain senior ini menunjukkan satu karakter yang baik untuk bawa pasukan ke satu tahap yang terbaik. Keseluruhan ada beberapa pemain yang boleh dipertimbangkan untuk skuad Piala AFF dan kelayakan Piala Asia,” katanya.