Sukan

Tanpa tonggak JDT kita lemah

Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail menganggap kekalahan 4-0 skuad Harimau Malaya di tangan Jordan dalam aksi persahabatan antarabangsa di Amman, kelmarin bukan keputusan yang teruk.

Menurutnya, keputusan itu tidak terlalu buruk sekiranya mengambil kira ranking Jordan yang jauh lebih baik dari Malaysia selain usaha jurulatih, Tan Cheng Hoe menguji ramai pemain baharu atau muda.

Malah, beliau turut menyokong tindakan Cheng Hoe memberi pendedahan kepada lebih ramai pemain muda bagi memastikan mereka bersedia untuk berdepan cabaran aksi antarabangsa.

Kita tengok ranking Jordan dekat mana, kita ini contohnya gajah nak lawan kancil. Kita kena sedar diri, tapi bagus kita cuba dengan pasukan tahap tinggi, baru kita nampak di mana kelemahan yang kita ada.

Jangan kita main semua nak menang, kalah kutuk. Pada saya 4-0 ini tidak teruk, ini Jordan ranking 93, kita 157, anda boleh bayangkan. Kalau bandingkan (ranking) 93 dengan 157, sepatutnya kena (kalah) 10-0.

“Kalah 4-0 itu saya bangga kerana mereka buktikan pemain Malaysia yang baru dipilih ada bakat dan berkaliber. Walaupun tanpa tujuh, lapan pemain (utama) dari JDT dan jika mereka ada dalam pasukan, memang lagi kuat pasukan kita,” katanya kepada BH Sukan, semalam.

Pada aksi di Stadium Raja Abdullah II itu, skuad Harimau Malaya dikecewakan dengan jaringan hatrik Ali Olwan pada minit ke-34, 47 dan 49 selain satu jaringan disumbangkan Odai Al-Saify minit ke-42.

Walaupun sudah menjelaskan aksi berdepan Jordan dan Uzbekistan esok adalah medan untuk menguji pemain, namun kekalahan itu tatap mengundang pelbagai kritikan daripada netizen atau boleh digelar sebagai ‘jurulatih bola sepak media sosial’.

Mengulas mengenai perkara itu, Jamal menegaskan, Cheng Hoe dan pemain skuad Harimau Malaya tidak perlu melayan kritikan negatif netizen terhadap skuad negara.

Katanya, tidak salah untuk mana-mana individu memberikan komen berkenaan prestasi skaud kebangsaan, namun biarlah kata-kata yang membina dan berdasarkan fakta.

Tak payah layan (netizen), kalau anda layan anda sakit kepala. Saya pun tak layan, mereka maki dan kutuk saya macam-macam, saya tak kisah pun. Ini demokrasi, tapi saya cakap berdasarkan fakta.

Mereka cakap ikut suka hati, main bola pun reti, nak cakap banyak. Tengok orang yang main untuk negeri mana ada komen sebab mereka tahu apa yang saya cakap, tapi yang cakap melalak ini mereka yang tak tahu.

sumber:- BH

“Mereka tak pernah duduk di padang, mereka tak faham. Cuba duduk dalam padang, ada 100 orang penonton, saya fikir mereka kecut (gugup), sepak bola pun tak betul nak cakap banyak,” katanya.