Sukan

Dengan bantuan pakar kita pernah tewaskan Korea Selatan

Institut Sukan Negara (ISN) bersedia membuka pintu bagi bersama-sama membantu meningkatkan prestasi skuad Harimau Malaya terutama apabila beraksi di pentas antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli berkata, jalinan kerjasama bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sememangnya sudah lama wujud khususnya dengan skuad bawah 23 (B-23) tahun negara ketika di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee sejak 10 tahun lalu.

Namun bantuan kepakaran itu tidak buat skuad senior Harimau Malaya kerana difahamkan FAM mempunyai pegawai tersendiri dalam membantu meningkatkan prestasi pemain dari sudut sains sukan.

Bagaimanapun, beliau bersedia menghulurkan bantuan dan khidmat sokongan kepada skuad kendalian Tan Cheng Hoe terutamanya dalam dua aspek penting iaitu Analisis Prestasi dan Suaian Fizikal.

Kalau boleh saya kongsikan jenis sokongan kepada skuad B-23 tahun negara yang sejak zaman Datuk Ong Kim Swee kita beri dua bentuk sokongan kepada skuad itu, di mana FAM (skuad B-23) mohon pegawai kita untuk membantu.

Tapi untuk skuad senior memang tak ada kerjasama dengan kita kerana kalau tak silap saya mereka ada pegawai sendiri. Tetapi jika mereka mahukan kita sedia membantu pasukan negara.

“Kita ada pengalaman untuk ‘High Performance’ dan kalau nak teroka dan berkongsi pengalaman serta cara bagaimana untuk bantu atlet dalam bola sepak kita sedia berbincang jika FAM mahu,” katanya kepada Arena Metro.

Untuk rekod, sepanjang Kim Swee mengendalikan pasukan B-23 tahun negara, prestasi skuad muda negara cukup membanggakan dan sering mengejutkan pasukan terkuat Asia yang mungkin didorong oleh bantuan kepakaran dari ISN itu.

Antara kejayaan manis skuad B-23 adalah apabila mengejutkan pasukan B-23 Arab Saudi dengan 1-0 pada Kejuaraan AFC B-23 pada 2018 selain menamatkan badi 40 tahun dengan menewaskan Korea Selatan 2-1 yang diperkuatkan pemain Tottenham Hotspur, Son Heung-min di Sukan Asia Indonesia 2018 lalu.

Menerusi laporan akhbar ini semalam, bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh menyuarakan kebimbangan mengenai prestasi skuad Harimau Malaya yang tidak menentu apabila kerap melakukan kesilapan-kesilapan mudah ketika beraksi.

Katanya, seolah ada sesuatu yang mengganggu fikiran, mental dan psikologi pemain di atas padang apabila kerap mengulangi kesilapan sedangkan ketika beraksi di Liga Malaysia (Liga-M) perkara sebegitu mampu dielakkan pemain.

Lantas Serbegeth mencadangkan agar FAM merujuk perkara terbabit kepada ISN yang memiliki kepakaran dalam bidang berkenaan dalam menyediakan pasukan dari segi kekuatan mental dan psikologi.

Dalam aksi persahabatan antarabangsa kelmarin, skuad negara tewas 0-4 kepada Jordan hasil jaringan hatrik Ali Olwan pada minit ke-34, 47 dan 49 dengan satu lagi disumbangkan Odai Al-Saify minit ke-42.

sumber:- HM

Seterusnya skuad Harimau Malaya akan mengharungi aksi lebih getir apabila berdepan pasukan di ranking ke-84 dunia, Uzbekistan yang akan turut berlangsung di Amman, malam ini.