Penjaga gol skuad kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat menegaskan barisan skuad pemain Harimau Malaya akan tampil dengan semangat melawan yang tinggi apabila turun berdepan Uzbekistan di Stadium Antarabangsa Amman, Jordan, esok.

Tatkala pasukan lawan berada di ranking lebih baik berbanding skuad kebangsaan, Khairul Fahmi atau turut dikenali sebagai Apek bagaimanapun mengakui semua pihak perlu realistik dengan barisan pemain yang Tan Cheng Hoe ada ketika ini.

Katanya, menjaga maruah pasukan dan penyokong juga menjadi antara kekuatan buat pemain memberikan aksi terbaik terutama selepas tewas 0-4 di tangan Jordan, Rabu lalu.

Atas kertas nampak banyak kelebihan kepada pemain Uzbekistan. Kami sebagai pemain yang datang ke sini pun semuanya ada kualiti dan potensi untuk melawan mereka. Kami akan berjuang hingga kami boleh bagi tentangan yang sengit dan paling kurang pun untuk (menjaga) maruah pasukan dan penyokong.

“Walau apa yang terjadi sekali pun, kami akan pastikan semangat melawan itu ada untuk aksi menentang Uzbekistan nanti,” katanya apda sidang media secara maya, hari ini.

Selain itu, Apek turut mengakui aksi berdepan Uzbekistan bakal menjadi medan terbesar untuknya memikat hati Cheng Hoe supaya terus dipanggil menyertai skuad Harimau Malaya bagi kejohanan Piala Suzuki AFF 2020, hujung tahun ini.

Ini peluang terbaik untuk semua pemain yang ada dalam pasukan kali ini bagi menunjukkan sesuatu kepada jurulatih dan pengurusan.

sumber:- BH

“Sekiranya diberi peluang beraksi, saya rasa semua pemain akan beri sesuatu yang terbaik sebagai satu pasukan, bukan individu untuk cuba berada dalam pasukan bagi panggilan (menyertai skuad kebangsaan) yang seterusnya nanti,” katanya.