Sukan

Masa De Paula telah tiba

Striker naturalisasi negara Guilherme De Paula diletakkan harapan untuk menampilkan persembahan terbaik bersama skuad kebangsaan pada dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Amman, Jordan bulan ini.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, soal De Paula berlari di padang atau tidak adalah antara pemain berusia 34 tahun itu dan Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe, namun sebagai striker peranan utama beliau adalah menjaringkan gol.

Mohd Yusoff berkata, De Paula harus bersedia dari segi mental untuk memikul tanggungjawab tersebut selain perlu menetapkan matlamat mel3dak seberapa banyak jaringan bersama pasukan negara.

“Kalau tiap-tiap perlawanan dia tak boleh jaringkan gol, tak ada makna lah dia boleh membantu kita (pasukan negara). Sebab kita ambil dia khas bagi mendapatkan gol, jadi itu menjadi tanggungjawabnya,” katanya yang juga pengurus pasukan ketika ditemui baru-baru ini.

De Paula yang juga strikerJohor Darul Ta’zim (JDT) gagal menambat hati penyokong skuad kebangsaan dalam ketiga-tiga penampilannya pada saingan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jun lepas.

Meskipun meraih jaringan sulungnya menerusi sepakan penalti ketika bertemu Vietnam, pencapaian itu dianggap penyokong belum boleh dibanggakan, apatah lagi apabila De Paula dilihat kurang efektif dalam memainkan peranannya di bahagian s3rangan skuad Harimau Malaya.

Bagaimanapun, Mohd Yusoff mempertahankan pemain kelahiran Brazil itu dengan menyifatkan De Paula perlu diberikan lebih masa untuk menyesuaikan diri bersama skuad kendalian Cheng Hoe.

“Kalau tengok perlawanan-perlawanan lepas, tak banyak bola sampai ke dalam kawasan lawan kita, jadi nak menyalahkan De Paula seorang pun tidak adil. Bagi saya episod itu telah berlalu dan De Paula kena buktikan dia pilihan tepat menjadi striker negara,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Yusoff berkata, dengan rekod jumlah jaringan yang tinggi sepanjang beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) sejak menyertai Selangor pada 2015, beliau berharap pencapaian itu dapat dijelmakan di pentas antarabangsa.

sumber:- SH

Malaysia yang menduduki ranking ke-154 dunia akan berdepan Jordan (ke-93 dunia) di Stadium King Abdullah II di Amman pada 11 malam esok, dan Uzbekistan (ke-84 dunia) di Stadium Antarabangsa Amman, 9 Oktober. – Bernama