Adakah kegagalan Shahrul Nizam Ros Hasni melaporkan diri ke kem skuad kebangsaan kerana turun ke laut bakal mengundang padah buat pertahanan Terengganu FC (TFC) itu?

Ini kerana berdasarkan semakan di Lampiran 1 Pelepasan Pemain Untuk Mewakili Negara oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), pertahanan berusia 23 tahun itu boleh berdepan denda, penggantungan ataupun lain-lain yang difikirkan sesuai.

Merujuk kepada Artikel 1A membabitkan ketidakpatuhan, pemain boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau digantung automatik dalam semua aktiviti bola sepak peringkat kelab, daerah, persatuan bola sepak negeri (PBN), kebangsaan dan antarabangsa dari tarikh melapor diri hingga tamat pertandingan yang sepatutnya diwakili.

Malah, FAM boleh melanjutkan tempoh penggantungan terbabit jika perlu atau lain-lain tindakan yang difikirkan sesuai oleh jawatankuasa untuk tujuan terbabit dengan tindakan tatatertib di artikel itu boleh dikenakan secara berasingan atau digabungkan.

Mengulas mengenai situasi itu, Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar menjelaskan pihaknya tidak akan menghukum terus pemain terbabit dan akan memberi peluang kepada Shahrul Nizam untuk ‘membela diri’.

Justeru, Saifuddin memaklumkan badan induk itu perlu menunggu laporan penuh daripada pengurusan dan barisan kejurulatihan membabitkan insid3n itu.

Kita akan tunggu laporan penuh dahulu dan selepas itu baru kita putuskan sama ada untuk panggil pemain itu (memberi keterangan) ataupun tidak.

“(Tindakan) tidak boleh putuskan lagi buat masa ini. Selepas kita dapat laporan barulah kita akan ambil langkah yang seterusnya,” katanya.

Sebagai rekod, pemain itu tidak hadir untuk melaporkan diri bersama skuad kebangsaan sekali gus terpaksa ‘ditinggalkan’ sebelum berlepas ke Amman, Jordan bagi mengharungi dua aksi persahabatan berdepan Jordan dan Uzbekistan.

sumber:- BH

Bagaimanapun, masalah komunikasi atau salah faham didakwa menjadi punca pemain itu tidak melaporkan diri dan pengurus pasukan, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan pemain itu gagal dihubungi kerana turun ke laut.