“Kami keluarga nelayan. Niat saya tak lain turun ke laut membantu keluarga tapi bila sampai ke darat, baru saya dapat tahu tentang perkara ini (disenaraikan oleh skuad Harimau Malaya) dan terkejut”.

Itu luahan tonggak pertahanan Terengganu FC, Shahrul Nizam Ros Hasni yang memohon maaf kerana tidak dapat melaporkan diri bersama skuad kendalian Tan Cheng Hoe pada Jumaat lalu.

Jelas pemain kelahiran Bachok, Kelantan itu, dia sama sekali tidak mengetahui namanya disenaraikan pada saat akhir oleh kem negara sebagai persediaan menjelang dua aksi persahabatan antarabangsa menentang Jordan dan Uzbekistan tang berlangsung di Amman, Jordan, pada Rabu dan Sabtu ini.

Katanya lagi, perkara paling mengecewakan dirinya apabila ada segelintir pihak yang menuduh dia tidak menghormati pasukan kebangsaan dan seolah sengaja enggan menyertai pasukan.

Jujur cakap semua pemain teringin menyarung jersi kebangsaan. Ia seperti impian menjadi kenyataan. Kalau saya tahu tidak mungkin saya lepaskan peluang ini.

Pengurusan pasukan memberi cuti selama lima hari selepas perlawanan men3ntang Selangor, jadi memang saya tiada perancangan lain dan terus balik kampung.

“Sampai di kampung saya turun ke laut. Kami keluarga nelayan. Niat saya tak lain turun ke laut membantu keluarga tapi bila sampai ke darat, baru saya dapat tahu tentang perkara ini dan terkejut.

“Ia sudah terlewat pasukan sudah pun terbang ke Jordan. Tetapi yang membuatkan saya kecewa dan moral saya terjejas teruk, saya dilabel tidak menghormati panggilan kebangsaan, saya dikatakan tidak serius dan macam-macam tohmahan lain,” katanya

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan misteri kehilangan Shahrul Nizam yang tidak melaporkan diri bersama skuad Harimau Malaya akhirnya terjawab apabila dia disahkan ke laut sejak awal pagi Khamis lalu.

Menurut pengurus skuad kebangsaan, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, pihaknya dimaklumkan oleh pegawai pasukan Terengganu FC yang Shahrul Nizam pergi ke laut sehari selepas aksi Piala Malaysia menentang Selangor FC pada Rabu lalu.

Ujarnya, disebabkan tiadanya capaian telefon dan internet di tengah laut menyebabkan pemain itu tidak dapat dihubungi, malah dia sendiri langsung tidak mengetahui namanya disenarai oleh Cheng Hoe.

Jelas Shahrul Nizam lagi, dia berharap skuad negara memberi peluang buatnya untuk bersama pasukan selepas ini.

sumber:- HM

“Saya minta maaf dan saya harapan akan diberi peluang lagi di masa akan datang,” katanya yang pernah menyarung jersi skuad B-23 tahun negara di pentas Sukan Sea sebelum ini.