Pemain muda Kedah Darul Aman FC (KDA), Mohammad Fayadh Mohd Zulkifli Amin akan menggantikan tempat Akhyar Rashid bagi kem latihan pusat skuad kebangsaan yang bermula, hari ini.
Pemain berusia 23 tahun itu menjadi antara pemain yang dipanggil pada saat akhir oleh ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe selepas Muhammad Ariff Farhan Md Isa dan Muhamad Shahrul Nizam Ros Hasni.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), badan induk itu menjelaskan tindakan Cheng Hoe menggugurkan Akhyar kerana masalah kec3deraan yang dialami pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu.
Semalam, Cheng Hoe turut memanggil Ariff Farhan dan Shahrul Nizam bagi menggantikan Syahmi Safari dan Dion Cools selepas dua pemain itu turut berdepan masalah kec3deraan.
Skuad Harimau Malaya akan mengharungi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Jordan pada 6 Oktober dan Uzbekistan pada 9 Oktober ini dengan kedua-dua aksi itu akan berlangsung di Amman, Jordan.
Latihan pusat kali ini sebagai persiapan untuk menghadapi kejohanan Piala Suzuki AFF 2020 yang dijadualkan berlangsung di Singapura pada 5 Disember hingga 1 Januari ini.
sumber:- BH
Selain itu, kem latihan itu turut menjadi medan terbaik buat Cheng Hoe menguji pemain dan membentuk skuad mantap untuk skuad Harimau Malaya mengharungi pusingan kelayakan Piala Asia, tahun depan.