Sukan

Jaringan ‘roket’ tidak akan berlaku jika bukan kerana Thanabalan

Jika Sabah FC kekal dengan perancangan awal yang diputuskan sebelum mengambil sepakan percuma, sudah pasti jaringan ‘roket’ yang dihasilkan Park Tae Su ketika berdepan PJ City FC, Isnin lalu tidak akan wujud.

Ini kerana pertahanan Korea Selatan itu mendedahkan pemain sudah merancang untuk melakukan hantaran menerusi sepakan percuma itu memandangkan jaraknya yang begitu jauh kira kira 36 meter dari pintu gol PJ City FC.

Namun, keyakinan yang disuarakan oleh rakan sepasukan menyaksikan Tae Su memberanikan diri untuk melakukan percubaan yang akhirnya berjaya ‘singgah’ terlebih dahulu di palang sebelum menerjah gawang dan menewaskan Kalamullah Al-Hafiz pada minit ke-20.

Sebelum sepakan percuma diambil, Levy Madinda katakan ia sangat jauh dan dia akan menghantarnya ke dalam kotak penalti. Kemudian (N) Thanabalan meminta saya untuk mengambilnya dan saya pun mahu mengambilnya kerana banyak kali melakukannya pada sesi latihan.

“Sebelum menendangnya pun, saya tidak tahu bola boleh masuk ataupun tidak. Cuma saya yakin kerana banyak kali saya cuba untuk melakukannya dari luar kotak penalti semasa latihan,” katanya.

Terdahulu, nama Liga Malaysia (Liga M) dan Sabah FC ‘mendunia’ selepas jaringan Tae Su menarik perhatian Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang menyaksikan mereka berkongsi klip video jaringan terbabit ketika aksi Piala Malaysia bertemu PJ City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Isnin lalu.

Malah, badan induk bola sepak antarabangsa itu turut meninggalkan komen yang memuji jaringan berkelas dunia terbabit apabila menyifatkan gol itu akan menjadi sejarah buat skuad Tambadau.

Justeru, Tenaga Pengajar Elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim mencadangkan supaya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dapat menghantar jaringan terbabit bagi pencalonan Anugerah Puskas FIFA.

Mengulas mengenai cadangan sekiranya jaringan terbabit dicalonkan untuk Anugerah Puskas FIFA, bekas pemain Hwaseong FC itu tampak berbesar hati kerana mahu melihat sama ada jaringan itu layak dinobatkan sebagai gol terbaik ataupun tidak.

Memang ia gol yang sangat cantik dalam karier saya. Saya pun ingin tahu kalau gol ini boleh memenangi Anugerah Puskas FIFA ataupun tidak.

sumber:- BH

“Tetapi saya fikir mungkin sukar kerana banyak lagi jaringan tercantik yang berjaya dihasilkan sepanjang musim di seluruh dunia,” katanya.