PEMENANG Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016, Mohd Faiz Subri terpaksa melupakan hasrat berkelana ke keluar negara bagi menggalas jawatan sebagai jurulatih teknikal pasukan Teqball Hungary.
Teqball adalah sukan yang menyerupai ping pong dengan pemain menggunakan bola seperti bola sepak.Ia mula diperkenalkan di Hungary pada 2012 dan kini menjadi sukan yang semakin popular di seluruh dunia.
Tanpa menamakan mana-mana pihak yang bertanggungjawab, pemain berusia 33 tahun itu berkata, rundingan mengenai jawatan tersebut yang bermula sejak tahun lepas tidak diteruskan.
“Setakat ini tiada perbincangan lanjut mengenai tawaran (jurulatih teknikal pasukan Teqball Hungary) dan saya anggap ia telah berakhir,” kata bekas pemain Pulau Pinang itu ketika dihubungi Bernama.
Pada Disember tahun lepas, Mohd Faiz yang ketika itu bersama pasukan Liga M3 Northern Lions Football Club (NLFC), ditawarkan jawatan berkenaan dan perlu mempertimbangkan untuk menamatkan kerjayanya sebagai pemain bola sepak profesional.
Bagaimanapun, tiada sebarang keputusan dibuat sehinggalah beliau menandatangani kontrak dengan pasukan Liga M3 Kuala Kangsar FC (KKFC) pada Mac lepas, namun Liga Bola Sepak Amatur (AFL) membatalkan saingan itu baru-baru ini, susulan pand3mik Covid-19.
sumber:- SH
“Terkini saya tiada pasukan selepas saingan Liga M3 2021 dibatalkan. Saya masih menanti tawaran dari mana-mana pasukan yang masih percaya dengan kebolehan saya,” katanya yang pernah dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan pada 2012, 2013 dan 2015.