Sukan

Bukan tunduk kepada tekanan

Bukan tunduk kepada tekanan atau tidak mendapat pelepasan, tindakan ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe tidak menyenarai pemain berstatus bintang ke kem latihan pusat Harimau Malaya adalah kerana mahu menguji muka baharu dalam usaha membentuk skuad lebih mantap pada masa akan datang.

Tampil menjelaskan senarai nama yang dipanggil baru-baru ini, Cheng Hoe berkata, beberapa tonggak seperti penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT) Farizal Marlias, Safawi Rasid, Corbin Ong, Mohamadou Sumareh dan Matthew Davies tetap akan dipanggil untuk mengharungi perlawanan Piala AFF dan pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023.

Beliau berkata, ketika ini perkara paling penting adalah menguji kemampuan pemain baharu dalam menghadapi perlawanan persahabatan berdepan pasukan ranking ke-93 dunia, Jordan dan pasukan ranking ke-84, Uzbekistan.

Katanya, setiap keputusan pemilihan pemain dibuat berdasarkan perbincangan yang diputuskan barisan kejurulatihan selepas mengambil kira semua faktor terutama dalam memberi impak positif kepada pembentukan skuad lebih mantap.

Itu (dakwaan JDT tak lepaskan pemain) pandangan atau andaian masing-masing, tapi kami barisan jurulatih dan pengurusan sentiasa berbincang mana satu yang terbaik untuk pasukan.

“Kita pun nak jaga imej negara juga, kita bukan tak ambil berat mengenai mana-mana pemain. Pemain lain seperti Safawi, Corbin dan Sumareh sudah sedia maklum kemampuan mereka dan kali ini kita mahu beri peluang pada nama baharu untuk menunjukkan kemampuan masing-masing di pentas antarabangsa,” katanya.

Cheng Hoe mengulas keputusan menyenaraikan enam pemain muda menjelang dua aksi persahabatan kelas ‘A’ yang dijadual pada Oktober depan.

Enam pemain terbabit ialah dua pemain Selangor FC, Sharul Nazeem Zulpakar dan Mukhairi Ajmal Mahadi; dua pemain Penang FC, Quentin Cheng dan Al Hafiz Harun; penjaga gol PJ City FC, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi serta pemain Terengganu FC, Hakimi Abdullah.

Malah daripada senarai penuh 24 pelatih itu, Cheng Hoe juga mengurangkan jumlah pemain JDT kepada lima sahaja daripada separuh yang mengisi skuad sebelum ini.

sumber : HM

Daripada senarai itu, barisan jurulatih negara hanya mengekalkan 12 pemain dari kem latihan pusat terdahulu pada Mei dan Jun lalu iaitu ketika menghadapi baki tiga aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu.