Sukan

Zamsaham penyelamat Kelantan FC

Kejayaan Kelantan FC mengesahkan slot ke Piala Malaysia musim ini membuktikan betapa transformasi yang dilakukan pemilik baharu, Norizam Tukiman sudah menunjukkan perkembangan positif.

Justeru, Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Ahmad Muzakkir Ahmad menyifatkan penswastaan pasukan menerusi pengambilalihan oleh usahawan yang lebih dikenali sebagai Zamsaham itu membuka lembaran baharu dan sinar buat skuad The Red Warri0rs (TRW).

Saya mewakili KAFA ingin mengucapkan tahniah kepada seluruh organisasi pasukan Kelantan FC kerana layak masuk ke Piala Malaysia. Sinar semakin menyerlah buat pasukan TRW sejak diswastakan dan diambil alih Norizam Tukiman.

Sudah tentu ia menjadi harapan rakyat Kelantan yang ingin melihat pasukan kesayangan bersaing dalam Piala Malaysia, setidak-tidaknya dapat masuk ke peringkat separuh akhir. Sudah lama penyokong dahagakan saat seperti itu. Sama-sama kita doakan.

“KAFA sentiasa bekerjasama rapat dengan TRW Kelantan FC agar memudahkan segala perancangan demi kejayaan pasukan,” katanya.

Sebagai rekod, Kelantan FC layak ke saingan Piala Malaysia musim ini sebagai pasukan keempat dari Liga Perdana meskipun menamatkan saingan di tangga keenam.

Kedudukan itu menyaksikan mereka diundi dalam Kumpulan D bersama tiga pasukan Liga Super termasuklah juara, Johor Darul Ta’zim (JDT). PJ City FC dan Sabah FC.

Mereka bakal membuka kempen Piala Malaysia musim ini berdepan skuad Harimau Selatan di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok.

sumber:- BH

Jaguh Pantai Timur itu pernah merangkul trofi berprestij itu sebanyak dua kali iaitu pada 2010 dan 2012 namun penampilan terakhir di final adalah pada 2013.