Sukan

Penyokong JDT, Kedah, Selangor mula tunjuk belang

Saingan Piala Malaysia akan membuka tirai Ahad ini dengan harapan tinggi diletakkan penyokong pasukan masing-masing terutama bagi tiga pasukan gergasi Liga Malaysia (Liga M) iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah Darul Aman FC dan Selangor FC.

Tiga pasukan itu dilihat antara pencabar utama kejuaraan Piala Malaysia musim ini yang kebetulan menyambut ulang tahun ke-100 kejohanan tertua Asia Tenggara itu.

Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Johor Darul Ta’zim (KPBJDT), Azman Jalil berkata pihaknya menaruh keyakinan skuad Harimau Selatan mampu mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi pada 2019.

Kadang-kadang dalam saingan seperti ini (Piala Malaysia) pasukan lain pun akan beraksi dengan lebih baik dan JDT pun pernah kalah dengan pasukan bawahan. Bukan kata JDT, pasukan hebat seperti Manchester United dan Liverpool pun begitu.

Namun, Insya-Allah, kita yakin JDT melepasi peringkat Kumpulan D. Sebagai penyokong, kami mendoakan yang terbaik buat JDT. Malah penyokong memang harap (JDT berjaya pertahankan kejuaraan) dan yakin dengan pasukan kita, katanya kepada BH Sukan.

Pengerusi Kelab Penyokong Jaguh Utara (JUFC), Safarizal Mohd Sobri turut menaruh keyakinan pasukan Kedah yang diundi dalam Kumpulan C bersama Melaka United, Negeri Sembilan dan pasukan tangga kelima Liga Perdana.

Dia bagaimanapun menegaskan skuad Helang Merah perlu lebih berwaspada dengan pasukan dari Liga Perdana yang dianggap mampu melakar kejutan luar jangka.

Atas kertas kita tengok tiada masalah, tapi apabila dalam padang kita kena akui tiga pasukan lain (dalam kumpulan) terutama dari Liga Perdana ini boleh buat kejutan.

Sebelum ini (dalam Liga Super) kita pernah hampir dimalukan pasukan UiTM FC. Apabila pasukan tercorot pun boleh beri saingan kepada Kedah, apatah lagi juara Liga Perdana (Negeri Sembilan FC) yang berada dalam Kumpulan C.

“Kalau boleh, kita nak Kedah jadi juara kumpulan dan mungkin 80 peratus peluang untuk Lang Merah melepasi peringkat kumpulan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Faizal Wahid pula menganggap Selangor mampu melepasi peringkat Kumpulan B selepas diundi bersama Terengganu FC (TFC), Perak FC dan dan pasukan tangga ketiga Liga Perdana.

sumber:- BH

“Prestasi Selangor ketika ini mungkin masih pada tahap biasa, tapi dengan undian (peringkat kumpulan) itu saya yakin Selangor layak ke suku akhir dan berusaha menjayakan misi (menjulang Piala Malaysia) ke-34,” katanya.