Sukan

Malaysia Terpaksa Lupakan Dion Cools

Skuad Harimau Malaya tampaknya kemungkinan terpaksa melupakan khidmat bintang bola sepak rantau ini, Dion Cools sepanjang kempen Piala AFF pada Disember ini.

Kepadatan jadual aksi liga di Eropah dilihat sebagai faktor utama yang menyukarkan untuk tonggak pertahanan FC Midtjylland di Liga Denmark itu menguatkan skuad negara di saingan Piala AFF nanti.

Malah, kejohanan yang di ibaratkan umpama ‘Piala Dunia’ Asia Tenggara itu bukanlah saingan utama di bawah kalender Fifa yang secara tidak langsung akan menyulitkan kem negara untuk mendapatkan pelepasan daripada kelabnya.

Segala kemungkinan itu turut diakui pengendali negara, Tan Cheng Hoe yang menyedari hakikat kebiasaannya jadual bola sepak di Eropah pada bulan Disember cukup sibuk.

Ditambah pula dengan kejayaan FC Midtjylland beraksi di pentas Liga Europa (UEL) ketika ini, sudah pasti kelibat Cools sentiasa ditagih kelabnya itu.

Jelas Cheng Hoe, beliau akan merangka beberapa strategi tambahan termasuk menyiapkan barisan pertahanan dengan mencuba kombinasi baru.

“Disember ini mungkin sukar untuk kita bawa dia (Cools). Bagaimanapun, setiap kali apa situasi seperti perlawanan persahabatan atau pertandingan, kita ada perancangan lain juga.

“Saya sentiasa terbuka memberi peluang pemain lain untuk berada dalam pasukan dan apabila pemain utama tiada disebabkan mengalami kecederaan atau penggantungan, kita masih ada pemain lain untuk mengisi kekosongan itu,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Dalam saingan Piala AFF yang akan bermula dari 5 Disember hingga 1 Januari depan itu, skuad Harimau Malaya diundi dalam Kumpulan B bersama juara bertahan, Vietnam, Laos, Kemboja dan Indonesia.

Menurut Cheng Hoe lagi, selain Cools beliau turut mengharapkan sentuhan penyerang muda negara iaitu Luqman Hakim Shamsudin pada kempen AFF kali ke -13 itu.

“Setakat sekarang kita belum ada ada perbincangan dengan kelab mereka (Cools dan Luqman) lagi. Kita pun masih fokus untuk persiapan latihan pusat pada Oktober ini dulu…dan sudah tentu kita nak bawa mereka pada kem latihan pada bulan depan itu.

“Untuk Disember nanti, kita akan cuba bincang dan lihat peluang untuk menyenaraikan mereka dalam Piala AFF nanti,” katanya.

sumber:- HM

Luqman ketika ini beraksi bersama skuad B-21 KV Kortrijk di Belgium dan dilihat jarang disenaraikan dalam skuad utama sekali gus berpeluang cerah untuk menyarung jersi negara pada hujung tahun ini.