Sukan

Jumlah keseluruhan RM10.4 juta

Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) berdepan tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM10.4 juta yang tidak dibayar kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membabitkan pemain utamanya sejak musim 2015.

Antara tuntutan yang dibuat LHDN adalah membabitkan cukai pendapatan bekas pemain import utama skuad Hijau Kuning iaitu Sandro Da Silva sebanyak RM2.3 juta dan Liridon Krasniqi sebanyak RM1.78 juta.

Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata pengurusan KFA terdahulu didapati memotong gaji pemain serta jurulatih terbabit bagi bayaran cukai pendapatan, namun gagal melunaskan bayaran itu kepada LHDN.

Selain Sandro dan Liridon, tunggakan cukai tertinggi turut melibatkan Bang Seung Hwan sebanyak RM935,000, Ken Ilso Larson (RM470,000), Chidi Edeh (RM434,000) dan Carlos Kahe (RM346,000).

Tuntutan tunggakan cukai itu turut membabitkan barisan kejurulatihan import antaranya Ian Gillan dan Stefano Impagliazzo,” katanya pada sidang media selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, pihaknya akan cuba berbincang bersama LHDN itu dihapus kira berikutan kegagalan agensi terbabit menuntut kutipan bayaran pada tahun sebelumnya.

Sepatutnya kalau ada tunggakan pada 2018 atau 2017, tuntutlah pada tahun itu juga tetapi mereka kata pada masa itu pengurusan KFA lama tidak memberi kerjasama.

“Sekarang apabila pengurusan baharu beri kerjasama, mereka datang longgok semua atas ‘kepala’ kita. Kalau macam itu, teruklah kita kerana KFA bukan buat untung, sebaliknya memajukan sukan melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan penaja,” katanya.

Jelasnya, pihaknya berharap perkara ini akan mendapat pertimbangan sewajarnya daripada Kementerian Kewangan dan LHDN bagi mengelak persiapan pasukan terjejas pada musim hadapan.

Tunggakan ini berlaku pada masa lalu, tak bolehlah kutip sekarang. Justeru saya berunding dengan LHDN untuk memohon hapus kira di atas kegagalan mereka membuat kutipan pada masa lalu.

sumber : HM

“Kita kena susun dan dapatkan surat pelepasan LHDN, kalau tak dapat pelepasan, kita tak boleh main kerana tak dapat lesen pada musim depan. Dosanya pada masa lalu, dan kerja saya pula menyucikan dosa lama,” katanya.