Sukan

Dua pasukan yang mahu dielakkan oleh empat pasukan pilihan

Dua pasukan yang mengisi balang dua menjelang undian Piala Malaysia iaitu Selangor FC dan Kuala Lumpur City FC (KL City) dijangka menjadi pasukan yang mahu dielakkan oleh kebanyakan pasukan terutama empat pasukan pilihan, Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah Darul Aman (KDA) FC, Penang FC dan Terengganu FC dari balang satu menjelang undian 100 tahun Piala Malaysia yang akan berlangsung esok.

Faktor itu kerana kedua-dua pasukan berada pada prestasi terbaik pada hujung saingan Liga Super yang menyaksikan mereka boleh menewaskan sesiapa sahaja lawan yang akan ditemui di Piala Malaysia.

Menurut penganalisis Liga Malaysia yang juga bekas striker kebangsaan, Rudie Ramli, beliau menjangkakan mana-mana pasukan yang akan diundi bersama dua pasukan ini bakal memperlihatkan saingan sengit di peringkat kumpulan.

Kalau kita tengok persembahan Selangor dan KL City kebelakangan ini, sememangnya mereka akan menjadi cabaran besar kepada pasukan-pasukan di balang satu.

Biarpun Selangor tewas kepada PJ City pada aksi terakhir namun dalam beberapa perlawanan sebelum itu, saya dapati ada adunan pemain senior dan junior yang begitu baik.

Mereka tampil cemerlang dalam kebanyakan perlawanan yang dilangsungkan di tempat lawan dan secara keseluruhan, kualiti mereka tidak jauh dengan empat pasukan di tangga teratas.

KL City pula mempunyai rekod begitu menakjubkan apabila tidak tewas dalam 11 perlawanan di tempat sendiri walaupun mereka ada masalah ketiadaan striker import.

Bagaimanapun, Bojan Hodak (pengendali KL City) begitu ‘masak’ dengan Liga M apabila bijak menggunakan Paulo Josue dan Romel Morales beraksi di posisi striker selain sudah mula menggunakan Safee Sali.

Namun, jangan memandang rendah satu lagi pasukan di balang kedua iaitu PJ City, mereka sudah mula menemui rentak kemenangan pada dua aksi terakhir selain Melaka United, ” katanya.

11 pasukan Liga Super sudah mengesahkan tempat selain 2 pasukan Liga Perdana, Negeri Sembilan FC dan Sarawak United, sementara baki tiga lagi slot ke Piala Malaysia akan ditentukan antara empat lagi pasukan Liga Perdana membabitkan PDRM FC, Kuching City FC, Kelantan FC dan Kelantan United FC.

Selain balang satu dan dua, balang tiga akan menyaksikan empat pasukan dari tangga kesembilan hingga sebelas Liga Super iaitu Sabah FC, Sri Pahang dan Perak FC manakala satu lagi akan diisi juara Liga Perdana, dengan balang empat pula antara pasukan di tangga kedua hingga kelima dari divisyen dua.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis, Syed Adney Syed Hussein, mengakui juara Liga Super, JDT masih menjadi pilihan utama di atas kertas bagi mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi dua tahun lalu namun terdapat beberapa pasukan dijangka mampu memberikan cabaran.

sumber:- HM

Jelas Syed Adney yang juga bekas penjaga gol kebangsaan itu, Terengganu FC dijangka akan membuat kebangkitan selepas melalui kekecewaan di penghujung saingan Liga Super.