Pepatah dalam dunia sukan berulang kali pernah menyebut bahawa mempertahankan kejuaraan adalah lebih sukar daripada memenangi sesuatu kejuaraan itu.
Namun, tidak bagi Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila skuad Harimau Selatan terus mencetak skrip sama apabila ‘menempah’ kejuaraan Liga Super buat kali kelapan berturut-turut.
Tiada kejutan dapat disaksikan pada musim ini, namun di sebalik kejayaan JDT itu, ia seharusnya memberi tamparan kepada 11 lagi pasukan lain yang turut sama bersaing dalam Liga Super musim ini.
Untuk lapan musim berturut-turut, mereka terus membenarkan JDT terus bermaharajalela memenangi kejuaraan dan yang lain sekadar mampu merebut gelaran naib juara.
Inilah realiti pahit yang perlu diterima dalam senario bola sepak tempatan, tetapi sampai bila pasukan lain mahu terus ‘tidur’ dan sekadar menyaksikan JDT bermain ‘bunga api’ di penghujung musim?
Persoalan itu turut ditanyakan pengkritik bola sepak tempatan, Serbegeth Singh yang menegaskan pasukan lain perlu bangkit dan tidak lagi ‘lena’ supaya dapat memberi saingan yang sengit kepada JDT.
Jelas Serbegeth yang mesra disapa Shebby itu, pasukan tidak lagi boleh bermain ‘alasan sama’ dan perlu bijak merencana strategi untuk menamatkan dominasi JDT dalam kancah bola sepak tempatan.
“Cukuplah memberi alasan yang boleh buat telinga saya berd@rah. Alasan yang sama adalah JDT terlalu kuatlah, JDT banyak duitlah, JDT ada pemain terbaiklah. Pasukan perlu sedar dan jangan tidur lagi.
Kalau tidak mampu bersaing daripada segi kewangan, bersainglah daripada segi pembangunan. Mereka perlu membuat kajian bagaimana untuk tingkatkan kualiti pemain dan kualiti persembahan.
Boleh bangunkan pemain sendiri sehingga ke tahap terbaik. Bangunkan pemain ini bukan bermakna pemain dari belasan tahun sahaja tetapi yang berusia 20, 21, 22 tahun pun boleh dibangunkan.
Memang JDT ada pemain terbaik, jadi pasukan perlu hasilkan pemain yang dianggap kedua terbaik. Pemilihan import pun perlulah bijak, cari yang benar-benar bagus sahaja.
sumber:- BH
“Buat apa belanja berjuta-juta pada setiap musim tetapi di penghujungnya, setakat mengejar nombor dua?,” katanya