Selepas menjuarai Liga Super lapan musim berturut-turut pada musim ini, Johor Darui Ta’zim (JDT) tampak mahu mengintai peluang untuk memburu kejuaraan Piala Malaysia yang bakal menyingkap tirai hujung September ini.

JDT yang melakar kemenangan tipis 2-1 menewaskan Kuala Lumpur (KL) City FC pada aksi terakhir Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi dengan mencatat rekod 11 kemenangan berturut-turut bagaikan menyuntik semangat pasukan itu untuk memburu piala berprestij musim ini selepas saingan musim lalu dibatalkan.

Pada perlawanan malam tadi, jaringan sendiri pemain KL City FC, Nik Mohd Shahrul Azim pada minit ke-69 menjadi penentu kemenangan JDT selepas jaringan Izreen Izwandy pada minit ke-25 memadamkan gol Nazmi Faiz Mansor pada minit ke-15.

Bagi pengendali JDT, Benjamin Mora pengalaman menjuarai piala liga kali kelapan jelas mematangkan lagi setiap pemain yang menjadi bekalan penting bagi persiapan menghadapi saingan Piala Malaysia yang dianggap begitu mencabar.

Katanya, untuk seketika pemain akan diberi cuti selama tiga hari selepas memerah segala keringat bagi memastikan kejuaraan liga milik JDT dan kemudian akan kembali menjalani latihan untuk menerusi saingan piala berprestij.

“Kami akan lihat bagaimana cara untuk beraksi dalam kempen Piala Malaysia kerana di JDT kita ada objektif dan objektif pertama adalah untuk menang dalam setiap perlawanan yang diharungi malah objektif seterusnya adalah mencabar diri masing-masing untuk memenangi satu lagi piala.

“Inilah cara kami lakukan dan ini juga cara kami melaksanakan dengan latihan yang tersusun bagi membentuk persefahaman taktikal tatkala beraksi di padang kerana semuanya berhubung kait untuk mencapai kejayaan.

“Apapun kami akan beri yang terbaik dalam saingan Piala Malaysia nanti kerana dalam permainan bola sepak cukup mencabar walaupun kami berstatus juara liga tapi pasukan lawan sudah pasti mahu menewaskan kami dalam setiap perlawanan,” katanya.

Mengulas kemenangan JDT pada perlawanan itu, Mora mengakui aksi men3ntang KL City FC begitu sukar apabila terpaksa mengeluarkan Leandro Velazquez seawal babak pertama yang menjejaskan corak permainan di posisi tengah.

“Memang sukar untuk tewaskan KL City FC selepas mereka bermain secara bertahan dan hanya melakukan serangan jika ada peluang sahaja, sebaliknya kami yang mengawal permainan tapi sukar untuk tembus benteng yang dikawal enam hingga tujuh pemain.” katanya.

Sementara itu, pengendali KL City FC, Bojan Hodak tetap berpuas hati dengan aksi pemainnya sekalipun gagal mengutip mata.

“Kami turun tanpa tekanan malah kami langsung tidak gentar dan mampu mengimbangi kekuatan pasukan yang berstatus juara lapan musim berturut-turut itu.

sumber:- HM

“Aksi yang kami sajikan lebih ke arah memastikan pemain tidak mengalami kecederaan atau dilayangkan kad kuning sehingga menyebabkan penggantungan kerana ia akan menjejaskan persiapan mengharungi kempen Piala Malaysia.” katanya.