Sukan

Pengganti Kim Swee dikenal pasti

Selepas Datuk Ong Kim Swee meninggalkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), difahamkan beberapa nama dikaitkan untuk mengisi jawatan Pengarah Teknikal yang dikosongkan oleh Kim Swee minggu lalu.

Antara calon disebut-sebut adalah Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), Saad Ichachelene.

Menurut sumber, pemilihan Saad sebagai Pengarah Teknikal FAM dilihat tepat berdasarkan kepada pengalaman luasnya di peringkat pembangunan sama ada di luar negara mahupun tempatan.

Saad dah lama dengan NFDP sejak 2016 di mana dia banyak merangka program pembangunan yang baik buat NFDP sehinggalah dilantik TD (Pengarah Teknikal) NFDPpada 2019 lalu.

Dia juga berpengalaman luas di luar negara di mana pernah menjadi ketua jurulatih akademi Paris Saint-Germain (PSG) dan melahirkan ramai pemain hebat seperti Adrien Rabiot, Presnel Kimpembe dan lain-lain.

“Dia juga memiliki hubungan yang erat dengan pemegang taruh seperti Majlis Sukan Negara (MSN) yang saya fikir antara faktor utama dia diletakkan sebagai calon hangat jawatan itu,” kata sumber berkenaan.

Kim Swee melepaskan jawatan sebagai Pengarah Teknikal FAM selepas hampir sembilan bulan mengemudi unit penting itu sejak Januari 2021.

Keputusan itu diambil selepas mendapat tawaran membimbing pasukan Liga Super, Sabah FC.