Sukan

Kejuaraan JDT seakan dilupakan gara-gara dua final

Ketika ada yang beranggapan saingan Liga Super agak membosankan selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) sudahpun mengesahkan kejuaraan lebih awal, namun situasi itu tampak tidak benar sama sekali.

Ini kerana masih ada dua ‘final’ yang pasti mencuri tumpuan sehingga ada kelompok penyokong yang menyatakan perebutan bagi gelaran naib juara musim ini disifatkan lebih sengit berbanding gelaran juara yang kini lapan kali berturut turut dimenangi JDT.

Dua ‘final’ terbabit menemukan Kedah Darul Aman (KDA) men3ntang Melaka United (MU) di Stadium Darul Aman sementara Penang FC (PFC) akan melayan kunjungan Terengganu FC (TFC) di Stadium Bandaraya.

Lebih ‘panas’, bukan setakat gelaran naib juara, namun tiket ke Piala AFC musim depan turut ditawarkan sekali gus menyaksikan aksi terakhir ini ibarat perlawanan hidup dan mat! buat mereka.

Tiada kelebihan besar buat mana-mana pasukan untuk aksi terakhir selain kedudukan masing- masing yang berkemungkinan boleh berubah selepas tamat 90 minit malam ini.

Skuad Lang Merah di tangga kedua dengan 40 mata, berkongsi pungutan mata sama dengan Penang FC, namun berkelebihan perbezaan gol sambil diikuti rapat oleh TFC di tangga keempat dengan 37 mata.

Buat KDA yang sepatutnya berada pada kedudukan selesa sekiranya tidak tercicir mata dalam tiga aksi terakhir, mereka tiada jalan lain kecuali perlu menang ke atas MU untuk memastikan gelaran naib juara berada dalam genggaman mereka.

Peluang KDA muncul naib juara tampak lebih besar jika menewaskan MU walaupun PFC mengetepikan TFC memandangkan KDA ada bekalan perbezaan gol yang lebih ketara mengatasi skuad Harimau Kumbang.

Dan di sinilah MU akan terbabit dalam ‘hubungan’ tiga segi ini – kerana MU adalah ‘kingmaker’ dalam perebutan gelaran naib juara pada musim ini.

PFC mengetahui perbezaan jaringan tidak berpihak kepada mereka. Jadi selain perlu menewaskan TFC, mereka juga perlu mengharapkan bantuan skuad Kancil untuk sekurang-kurangnya mengikat KDA kerana jika ini berlaku, PFC akan menjadi naib juara dengan 43 mata.

Situasi sama dihadapi skuad Penyu kerana mereka memiliki perbezaan jaringan yang sama dengan KDA (13). Jadi jika berjaya menewaskan PFC, mereka masih perlu mengharapkan KDA tunduk di tangan MU.

Seandainya TFC mengalahkan PFC dan MU berjaya menjalankan ‘tugasnya’, ketiga-tiga pasukan akan terikat dengan 40 mata, namun perbezaan jaringan akan ‘menolak’ TFC ke tangga kedua sekali gus layak ke Piala AFC musim depan.

sumber:- BH

Apapun kepada KDA, tak usahlah memeningkan diri sendiri, menang sahaja dengan MU dan tiga mata itu sudah cukup untuk membawa kalian ‘terbang’ ke pentas Asia.