Sukan

Pasukan sudah sedia terima ‘kepulangan semula’

Pasukan Liga Malaysia (Liga M) sudah bersedia menerima ‘kepulangan semula’ penyokong ke stadium masing-masing sekali gus mengharapkan kerajaan dapat menimbangkan permohonan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebelum ini.

Malah, mereka turut menyambut baik cadangan pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustafa yang menyifatkan kerajaan wajar membenarkan kehadiran sekurang-kurangnya 40 peratus daripada kapasiti stadium untuk menyaksikan perlawanan.

Antara yang bersetuju dengan cadangan itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kedah Darul Aman (KDA), Khamal Idris Ali yang mengakui mereka tidak ada masalah untuk mematuhi segala SOP yang bakal ditetapkan dalam usaha membenarkan kembali penyokong hadir ke stadium.

Sebelum ini pun, kita sudah kendalikan kemasukan penyokong ketika pand3mik C0VID-19. Jadi kami percaya boleh terus lakukan seperti sebelum ini kerana SOP pun sudah ada.

Kami berharap pertimbangan dapat diberikan kerajaan kerana ini akan membolehkan pasukan menjana pendapatan daripada jualan tiket. Tetapi ia tetap tertakluk kepada penyokong yang sudah divaksin penuh.

“Kami berpendapat semua pasukan pun akan bersedia dan menyambut baik kalau cadangan ini dapat dilaksanakan,” katanya.

Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan pada 3 September lalu mengemukakan permohonan mengenai cadangan SOP kemasukan penyokong ke stadium untuk menyaksikan perlawanan Liga M kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin di pejabatnya di Putrajaya.

Sementara itu, Pengurus Selangor FC (SFC), Mahfizul Rusydin Abdul Rashid turut senada dengan Khamal apabila menyifatkan ia sebagai satu cadangan yang baik, namun ia perlulah dilaksanakan dengan baik untuk mengelak masalah pada masa akan datang.

Dengan perkembangan semasa pun, Menteri Kesihatan (Khairy Jamaluddin) ada maklumkan pandemik ini akan memasuki fasa endemik pada hujung Oktober. Jadi kita memang mahu kembalikan bola sepak kepada penyokong yang selama ini menyokong secara maya sahaja.

Cuma kita perlu pastikan cadangan itu boleh dilaksanakan tanpa sebarang masalah berbangkit pada masa depan. Sebab SOP ini me mbabitkan kos, jadi kita risau kalau kita sudah melabur, tiba-tiba penyokong tidak dibenarkan masuk kerana peningkatan kes.

“Semua pasukan pun perlu bersedia sepenuhnya supaya tidaklah nanti menjadi ibarat ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif KL City FC, Stanley Bernard melihat cadangan untuk membenarkan 40 peratus penonton kembali ke stadium sebagai pendekatan yang realistik dan sesuai dilaksanakan.

Katanya, pendekatan menggunakan data dan sains seperti liga luar negara yang membenarkan kehadiran penuh penyokong boleh dijadikan panduan dengan 40 peratus adalah angka permulaan baik untuk melakukan percubaan awal.

Penyokong dan pemain bagaikan isi dan kuku. Jadi sebab itulah realistik untuk penyokong kembali ke stadium dengan mengikut SOP yang ditetapkan. Selain itu, kita perlu melihat kehadiran penyokong sebagai ruang untuk pasukan menjana pendapatan.

“Mungkin kita boleh bermula dengan 40 peratus dan selepas itu dinaikkan sedikit demi sedikit. Kita sudah uruskan kemasukan penonton sebelum ini dan kita boleh ikuti SOP ditetapkan. Kita mengalu alukan cadangan itu dan bantuan yang boleh disalurkan daripada MFL,” katanya.