Sukan

Calon luar ganti Kim Swee

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menolak kemungkinan akan mengambil calon luar negara sebagai pengarah teknikal badan induk bola sepak itu bagi menggantikan Datuk Ong Kim Swee yang melepaskan jawatan terbabit berkuat kuasa 1 Oktober ini.

Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar berkata, senarai calon bagi jawatan terbabit belum lagi dibincangkan oleh pihak pengurusan sehingga Kim Swee secara rasmi tidak lagi bersama badan induk bola sepak itu.

Beliau berkata, perkara penting individu yang akan menyandang jawatan terbabit perlulah memenuhi kriteria ditetapkan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sebelum nama mereka dimuktamadkan kelak.

Prosedur pemilihan pengarah teknikal bukanlah boleh diambil secara tangkap muat kerana nama mereka perlu dihantar kepada AFC sebelum kita mengambil mereka mengisi kekosongan jawatan itu.

“Pada masa sekarang, tiada perbincangan mengenai calon yang akan menggantikan Kim Swee dan tidak menolak juga jawatan berkenaan akan diisi oleh individu dari luar negara. “Kita akan membincangan senarai nama apabila keadaan sudah reda dan Kim Swee secara rasmi meninggalkan FAM kelak,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, tawaran menarik sebagai pengendali Sabah FC menyaksikan Kim Swee memilih melepaskan jawatannya sebagai Pengarah Teknikal Persatuan FAM yang disandangnya sejak awal Januari tahun ini.

Saifuddin mengesahkan pihaknya sudah menerima surat peletakan jawatan Kim Swee kelmarin dan badan induk itu menerima keputusan bekas pengendali skuad Harimau Malaya itu.

Untuk rekod, Kim Swee yang bakal mencecah usia 51 tahun pada 11 Disember depan sudah berkhidmat bersama FAM selama 14 tahun bermula dari tahun 2007 dengan pelbagai jawatan. Bermula sebagai ketua jurulatih skuad B-16 kebangsaan, Kim Swee kemudiannya terus diberi kepercayaan untuk membimbing skuad B-17, skuad Harimau Muda, skuad B-23, skuad senior kebangsaan, Ketua Unit Belia dan terakhir sebagai Pengarah Teknikal.

sumber:- BH

Antara kejayaan Kim Swee sepanjang bersama FAM ialah membimbing pasukannya muncul juara Piala Belia 2007, naib juara Piala Belia 2008, juara Liga Perdana 2009, pingat emas Sukan Sea 2011, juara Pestabola Merdeka 2013 dan pingat perak Sukan Sea 2017. Pencapaian terhebat beliau sudah pastinya ketika membimbing skuad B-23 hingga mara ke suku akhir Kejuaraan B-23 AFC buat kali pertama selain turut layak ke peringkat kalah mati pada Sukan Asia 2018.