Perebutan gelaran naib juara Liga Super musim ini mencetuskan kehangatan di penghujung saingan dan ia hanya akan ditentukan oleh tiga pasukan selepas aksi 90 minit terakhir, Ahad ini.

Ia susulan keputusan seri 3-3 yang diraih Kedah Darul Aman FC (KDA) ketika berdepan pasukan tercorot, UiTM FC di Stadium Darul Aman, semalam yang menyaksikan Terengganu FC (TFC) masih memiliki peluang untuk bersaing merebut gelaran naib juara.

Justeru, persaingan sengit antara Kedah, Penang dan TFC akan berterusan hingga ke perlawanan terakhir untuk merebut tempat kedua Liga Super yang turut menawarkan tiket ke Piala AFC musim depan.

Kelebihan tampak masih memihak Kedah untuk muncul naib juara Liga Super, namun dengan syarat mereka perlu menewaskan Melaka United FC pada aksi terakhir di gelanggang sendiri, Ahad ini.

Aksi penutup tirai liga musim ini yang paling menarik sudah pasti pertemuan antara Penang dan TFC di Stadium Bandaraya yang mana ia akan menentukan kedudukan kedua hingga empat liga.

Sekiranya Penang menang, mereka perlu mengharapkan Kedah seri atau tewas untuk bergelar naib juara dan jika kalah di tangan TFC, skuad Harimau Kumbang akan jatuh ke tangga keempat.

Bagi TFC pula, sekiranya menang, mereka akan naik ke tangga ketiga dan boleh bergelar naib juara jika Melaka United mencipta kejutan ke atas Kedah.

Pengendali TFC, Nafuzi Zain menjelaskan fokus utamanya ketika ini adalah untuk TFC meraih kemenangan pada aksi terakhir berdepan Penang.

“Kita kini berada dalam persaingan untuk kedudukan kedua dan ketiga. Kita masih ada peluang untuk berada di atas. Perlawanan dengan Penang seperti final, kalau menang kita boleh berada dalam tiga teratas,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Penang, Tomas Trucha turut menganggap aksi berdepan TFC sebagai final dan tidak memandang mudah kemampuan skuad Penyu walaupun pasukannya memiliki kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.

“Ia seperti final. Jadi (peluang) perlawanan akhir sentiasa akan menjadi 50-50. Tapi bagi saya TFC adalah pasukan besar yang mana memiliki jurulatih tempatan yang baik, pengurusan bagus dan ini perlawanan yang sangat sukar bagi kami,” kata Trucha.