Sukan

Kim Swee sah letak jawatan

Tawaran menarik sebagai pengendali Sabah FC menyaksikan Datuk Ong Kim Swee memilih melepaskan jawatannya sebagai Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang disandangnya sejak awal Januari tahun ini.

Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar mengesahkan pihaknya sudah menerima surat peletakan jawatan Kim Swee hari ini dan badan induk itu menerima keputusan bekas pengendali skuad Harimau Malaya itu.

FAM ingin mengumumkan peletakan jawatan Pengarah Teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee selepas beliau menerima tawaran sebagai ketua jurulatih Sabah FC yang baharu.

“Surat peletakan jawatan itu diserahkan Kim Swee hari ini dan pihak pengurusan FAM menerima peletakan jawatan itu, seterusnya mencapai persetujuan bersama untuk melepaskan beliau ke jawatan baharunya itu berkuat kuasa 1 Oktober ini,” katanya.

Untuk rekod, Kim Swee yang bakal mencecah usia 51 tahun pada 11 Disember depan sudah berkhidmat bersama FAM selama 14 tahun bermula 2007 dengan pelbagai jawatan.

Bermula sebagai ketua jurulatih skuad B-16 kebangsaan, Kim Swee kemudiannya terus diberi kepercayaan untuk membimbing skuad B-17, skuad Harimau Muda, skuad B-23, skuad senior kebangsaan, Ketua Unit Belia dan terakhir sebagai Pengarah Teknikal.

Antara kejayaan Kim Swee sepanjang bersama FAM ialah membimbing pasukannya muncul juara Piala Belia 2007, naib juara Piala Belia 2008, juara Liga Perdana 2009, pingat emas Sukan SEA 2011, juara Pestabola Merdeka 2013 dan pingat perak Sukan SEA 2017.

Pencapaian terhebat beliau sudah pastinya ketika membimbing skuad B-23 hingga mara ke suku akhir Kejuaraan B-23 AFC buat pertama kalinya selain turut layak ke peringkat kalah mati pada Sukan Asia 2018.

“FAM mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Kim Swee atas khidmat dan jasanya sepanjang bersama FAM dan mendoakan agar beliau berjaya dengan karier baharunya bersama Sabah FC,” kata Saifuddin lagi.