Sukan

Ramai mahu Nafuzi Kekal

Jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim berpendapat Nafuzi Zain perlu dikekalkan untuk terus mengemudi pasukan Terengganu FC (TFC) musim depan.

Menurut pengendali Kuching City FC itu, Nafuzi sudah menjalankan tugas sebagai ketua jurulatih skuad Penyu dengan baik sehingga meletakkan pasukan itu di kelompok teratas Liga Super.

Justeru, beliau berpandangan di sebalik kritikan bertalu-talu yang dilemparkan terhadap jurulatih muda itu, Nafuzi wajar diberi peluang membuktikan beliau mampu membawa TFC ke peringkat lebih tinggi pada masa depan.

Saya kenal Nafuzi kerana dia pernah menjadi pembantu saya dan kami sentiasa berhubung. Saya selalu menasihatkan dia supaya bersabar dan kurangkan gangguan luar padang yang boleh menjejaskan perancangan pasukan.

“Bola sepak ada turun naiknya. Lagipun TFC bukan di zon penyingkiran, sebaliknya masih di kelompok atas bagi perebutan tangga kedua liga,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

Tambah Irfan lagi, sebagai bekas pengendali TFC, beliau sentiasa mengikuti rapat pasukan itu dan bangga dengan pencapaian Nafuzi yang disifatkan memiliki bakat serta potensi besar dalam dunia kejurulatihan.

Nafuzi sebelum ini diarahkan supaya mengemukakan surat tunjuk sebab kepada pengurusan TFC selepas pasukannya tewas tiga kali berturut-turut iaitu kepada Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dan Johor Darul Ta’zim.

Kekalahan TFC pada aksi-aksi penting di hujung musim menyebabkan ia jatuh daripada tangga kedua ke tangga keempat liga, sekali gus mengundang pelbagai krit!kan dan k3caman daripada peminat bola sepak Terengganu yang tidak berpuas hati dengan penurunan prestasi mendadak pasukan tersebut.

TFC akan menamatkan saingan Liga Super pada aksi penting bertemu Penang FC di tempat lawan pada 14 September ini. Perlawanan itu juga adalah misi penentu bagi memburu slot automatik ke Piala AFC 2022.