Sukan

Sarawak United mungkin terlepas kejuaraan Liga

Sarawak United FC memilih laluan berliku dalam pembvruan kejuaraan Liga Perdana selepas tewas tipis 0-1 kepada Kuching City FC di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), hari ini.

Kekalahan Sarawak United FC itu menyaksikan pembvruan kejuaraan liga kembali terbuka antara skuad kendalian E Elavarasan dan Negeri Sembilan FC (NSFC) tatkala anak didik K Devan hanya ketinggalan dua mata dengan Sarawak United FC menghimpun 37 mata.

Pada pertembungan `Borneo derby’ itu, Kuching City mengundang cemas di benteng pelawat pada minit ke-12 selepas bola sepakan percuma, Joseph Kalang Tie ditanduk kemas Amir Amri Salleh namun sempat diselamatkan penjaga gol, Mohd Sharbinee Allawee Ramli.

Pelawat hampir mencipta gol pada minit ke-18 selepas bola sepakan sudut Sandro da Silva melencong tepat ke penjuru kanan gol tapi berjaya ditepis keluar penjaga gol, Mohd Iqbal Mohd Suhimi.

Mohd Iqbal tangkas menghalang gerakan berbahaya pasukan pelawat pada minit ke-20 apabila bola umpanan Sandro yang membuka ruang buat Uche Agba melakukan rembatan leret namun penjaga gol tuan rumah itu berada di posisi terbaik untuk menyelamat gawang daripada dibolosi.

Bersambung babak kedua, skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim menggandakan asakan dan melakukan percubaan berbahaya pada minit ke-58 selepas Irwan Syazmin Wahab merembat bola leret namun sempat ditangkap Mohd Sharbinee.

Pelawat hampa untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-73 apabila bola r3mbatan leret Sandro di luar kotak penalti menyaksikan Mohd Iqbal sempat merebahkan badan untuk menangkap bola.

Ketika aksi berbaki tujuh minit untuk ditamatkan tuan rumah mengambil kesempatan untuk mencipta jaringan selepas pemain gantian, Alif Hassan merembat bola menewaskan Mohd Sharbinee dan jaringan tunggal itu kekal sehingga tamat perlawanan.