Sukan

Rekod KL City FC sebaris Kelab terkemuka EPL

Jika di Liga Perdana Inggeris (EPL), enam pasukan pernah menamatkan semusim tanpa kalah di laman sendiri iaitu Chelsea, Manchester City, Tottenham Hotspur, Manchester United, Liverpool dan Arsenal.

Namun di Liga Super, satu pasukan berjaya meraih pencapaian itu pada musim ini iaitu KL City FC yang menjadikan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras sebagai ‘Tembok Besar’ mereka.

Mungkin agak keterlaluan untuk membandingkan KL City dengan pasukan terkemuka Eropah, namun setidak-tidaknya, 11 perlawanan tanpa kalah di laman sendiri yang dilakar KL City FC musim ini adalah satu pencapaian yang membanggakan.

Kemenangan 2-1 ke atas Kedah Darul Aman (KDA), malam tadi menyaksikan skuad Warga Kota meraih kemenangan ketujuh di laman sendiri dan mereka hanya tercicir mata dalam empat perlawanan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

Pengendali KL City FC, Bojan Hodak mengakui kejayaan itu adalah satu pencapaian yang baik apatah lagi ia membolehkan pasukan itu mencapai sasaran yang ditetapkan – kekal bersaing dalam Liga Super untuk musim depan.

Kadang-kala kamu bertuah dalam bola sepak tetapi kalau kamu tidak kalah sepanjang musim di laman sendiri, sudah tentu ia satu pencapaian yang baik. Itu bermakna kamu beraksi dengan sangat baik di tempat sendiri.

Jadi, apa yang perlu diperbaiki adalah aksi kami di tempat lawan. Dengan pencapaian ini, kami berada dalam kedudukan enam terbaik dan pencapaian terbaik pasukan sebelum ini di Liga Super adalah kedudukan kesembilan.

“Ini musim yang bagus untuk KL City. Lebih manis sekiranya kejayaan ini dapat dikongsikan bersama penyokong kami di stadium,” katanya.