Perak FC memohon maaf kepada penyokong dan peminat kelab itu selepas gagal mempertahankan rekod untuk terus bertahan dalam Liga Super bagi musim depan susulan kekalahan 2-1 kepada Melaka United FC (MU FC), Jumaat lalu.

Permohonan maaf itu dibuat ketika penyokong dan peminat kelab bola sepak itu kecewa kerana tahun 2021 sepatutnya diraikan sempena ulangtahun ke-100 penubuhan pasukan bolasepak Perak yang dulunya dikenali sebagai Perak FA.

Kekalahan di tangan MU FC dalam perlawanan minggu ke-21, Jumaat lalu mengesahkan The Bos Gaurus tercicir buat kali pertama ke divisyen dua liga bola sepak Malaysia sepanjang sejarah penubuhan pasukan itu.

Pengurus Besar Perak FC Azman Noh berkata, pihaknya sudah melakukan sebaik mungkin bagi mempertahankan rekod sebagai satu-satunya pasukan yang tidak pernah jatuh daripada Liga Super sejak diperkenalkan pada tahun 2004.

Bagaimanapun, saya akui di sebalik usaha bersungguh-sungguh yang dilakukan dalam masa yang begitu singkat, masih terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki.

“Peristiwa yang terpahat dalam sejarah Perak FC ini membawa 1,001 makna kepada pasukan, paling mustahak ia merupakan satu pengajaran paling bemakna untuk kita bangkit,” kata Azman.

Katanya lagi, proses untuk kebangkitan pasukan itu bermula dengan meletakkan sasaran sebagai juara Liga Perdana bagi musim depan bagi membolehkan ia kembali layak bersaing dalam Liga Super musim seterusnya.

Proses penswastaan sepenuhnya juga akan dilakukan kelab bola sepak itu dengan membentangkan hala tuju pasukan secara terperinci untuk jangka masa pendek serta panjang, dalam masa terdekat.

“Ayuh kita sama-sama bangkit dengan lebih bergaya kerana ini bukan pengakhiran untuk Perak FC sebaliknya ia adalah permulaan untuk sesuatu yang lebih hebat,” katanya.

Perak FC mempamerkan prestasi terburuk musim ini apabila berada di tempat kedua tercorot Liga Super sekali gus mengesahkan tempat ke Liga Perdana musim hadapan.