Sukan

Mora beri amaran awal – awal lagi

Biarpun Johor Darul Ta’zim (JDT) sudah mengesahkan kejuaraan Liga Super kali kelapan pada musim ini namun ada misi yang perlu dilangsaikan apabila berdepan Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan, Kuala Terengganu, malam esok.

Pengendali JDT, Benjamin Mora memasang impian untuk menebus kekalahan 0-1 ketika aksi pusingan pertama di Stadium Sultan Ibrahim, 24 April lalu dan ia satu-satunya kekalahan dialami skuad Harimau Selatan sepanjang 20 perlawanan diharungi.

Bagi Mora keinginan untuk membalas d3ndam begitu menebal buat pengendali kelahiran Mexico itu namun dia menyedari tugas sukar di laman lawan.

“Untuk aksi berdepan Terengganu FC, saya akan turunkan barisan terkuat kerana kami mahu membalas dendam kekalahan dialami sebelum ini.

“Terengganu pasukan tunggal yang berjaya tewaskan kami dalam saingan liga dan kami mahu tebus kekalahan itu dan semestinya kami akan turun habis-habisan bagi membawa pulang tiga mata. Malah semangat menjulang kejuaraan liga akan memberi lebih motivasi kepada kami.

“Apapun kami harus berhati-hati apabila turun beraksi kerana Terengganu juga ada misi mereka tersendiri iaitu mahu menamatkan saingan liga di tangga kedua. Kami tidak boleh buat silap dan sentiasa mengekalkan corak permainan berintensiti tinggi,” katanya.

sumber: HM

Mora juga ingin memastikan Bergson Da Silva yang kini berada di kedudukan terbaik untuk muncul pemenang Kasut Emas Liga Malaysia (Liga M) selepas pemain import dari Brazil itu mendahului status selaku penjaring terbanyak dengan 23 gol sambil diekori rapat pemain Selangor FC, Ifedayo Olusegun yang ketinggalan satu gol.